Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 3 OGOS 2023 : Agenda Kerajaan Negeri Pahang untuk meluaskan lagi penyebaran ilmu di kalangan masyarakat diteruskan dengan penyerahan Van Perpustakaan Bergerak Pahang kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP), hari ini.
Sesi penyerahan van berkenaan dilakukan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kepada Pengarah PPAP, Puan Nor Zahira Muhammad Azmi di pekarangan Wisma Sri Pahang.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Haji Zulkifli Yaacob serta barisan Exco Kerajaan Pahang.

Projek Perpustakaan Bergerak Negeri Pahang merupakan cetusan idea daripada YAB Menteri Besar Pahang pada tahun 2022 di mana Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi pembinaan satu unit van perpustakaan bergerak dan satu unit bas Perpustakaan Bergerak Pahang yang dijangka siap pada penghujung tahun 2023.
Perkhidmatan ini dapat memastikan agenda kerajaan negeri untuk menyampaikan ilmu kepada seluruh masyarakat di negeri Pahang dapat direalisasikan.
Masyarakat akan dibekalkan dengan Perpustakaan Bergerak yang serba lengkap dengan kepelbagaian perkhidmatan serta kemudahan ICT. – PAHANGMEDIA