Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 1 OGOS 2023 : Kesukarelaan golongan remaja dan belia dalam usaha meningkatkan ketahanan fizikal dan jati diri dapat dilakukan menerusi Anugerah Remaja Perdana (ARP) yang diselia sepenuhnya oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui Pejabat Belia dan Sukan Daerah.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, inisiatif seumpama ini perlu disokong bagi melahirkan individu yang mantap dari pelbagai aspek khususnya remaja dan belia yang merupakan pemangkin masa hadapan negara.
“Saya memang menyokong penuh usaha-usaha sebegini dan Pejabat Belia Daerah Kuantan berjaya melibatkan lebih 100 anak-anak muda yang berusia 14 hingga 25 tahun untuk terlibat dalam program ini.

“Dan program-program sebegini penting untuk membentuk jati diri, ketahanan, disiplin anak-anak muda ini dan kita tengok hari ini ramai yang terlibat, jadi sudah pasti saya mewakili Kerajaan Negeri Pahang perlu menyokong program sebegini yang memberi impak langsung kepada anak-anak muda kita.
“Sebenarnya ia memerlukan komitmen yang tinggi sebab untuk mendapat gangsa tiga bulan (tempoh), untuk dapat perak enam bulan, hanya mereka yang betul-betul fokus, minat dan mempunyai kesedaran yang boleh ditauliahkan gangsa dan perak pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahun 2022 Peringkat Daerah Kuantan di Hotel Megaview, Kuantan, pagi tadi.
Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, YBrs Encik Shafrul Haji Kadir, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, YBrs Puan Nor Hashekin Abdul Aziz dan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuantan, YBrs Puan Basyirah Zulkifli.
Pada majlis itu, seramai 104 remaja telah menerima pentauliahan masing-masing yang disampaikan sendiri oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal.
Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuantan, YBrs Puan Basyirah Zulkifli, ARP menyediakan tiga peringkat iaitu gangsa bagi tempoh 3 bulan, perak (6 bulan) dan emas (12 bulan) dengan peserta dikehendaki melakukan pelbagai tugasan membabitkan empat kategori iaitu khidmat masyarakat, rekreasi fizikal, kemahiran dan penjelajahan lasak.
“Peserta-peserta kita yang sertai ARPRM ini, mereka akan miliki nilai tambah dalam diri mereka sebab macam ucapan YB tadi, dia kata masa ditemuduga pun kita tidak hanya menilai akademik semata-mata, kita akan tengok juga apa yang dia buat di luar akademik itu, nilai tambah dia, macam mana penglibatan dia di luar akademik di luar daripada kelas boleh membentuk diri dia yang sebenarnya,” katanya. – PAHANGMEDIA