Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 27 JULAI 2023 : Kejohanan Piala Dunia Woodball Pantai Ketiga yang berlangsung hari ini sehingga 31 Julai di De Rhu Beach Resort memberi impak baik terhadap pembangunan sukan Woodball di negeri ini.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Cik Leong Yu Man berkata, bukan sekadar faktor sukan itu sendiri malah ia secara tidak langsung turut berkait rapat dengan aspek perlancongan di mana ia pertama kali diadakan di kawasan tepi pantai.
“Saya ingin berterima kasih di atas pemilihan negeri Pahang sebagai tempat pertandingan bertaraf antarabangsa dan saya percaya dengan penganjuran sukan ini ianya dapat membawa perkembangan impak positif sukab Woodball negeri Pahang.
“Mengikut pengalaman saya sendiri sukan ini menyeronokkan dan ia merupakan sukan yang sesuai untuk setiap lapisan umur. Saya berharap usaha dan kerjasama lebih banyak antara agensi-agensi terjalin agar Pahang boleh terus bangunkan sukan Woodball ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan kejohanan berkenaan di De Rhu Beach Resort hari ini.
Turut hadir, Presiden Woodball Negeri Pahang yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), YH. Dato’ Suhaimi Mohd Yunus serta Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim.

Dalam pada itu, YB Cik Leong turut menyampaikan harapan untuk melihat lebih ramai wakil peserta dari Negeri Pahang boleh ambil bahagian dalam sukan ini di peringkat antarabangsa.
“Kita alu-alukan jika sukan ini kembali dianjur di negeri Pahang pada masa akan datang. Dari sudut pelancongan pula, penganjuran sukan ini memberi peluang kepada peserta terutamanya daripada luar negara menikmati keindahan pantai di sini dan keramahan penduduk di negeri ini. Ini akan bagi pengalaman yang baik kepada mereka dan gembira untuk kembali semula ke sini nanti,” katanya.
Sementara itu, Presiden Woodball Negeri Pahang, YH. Dato’ Suhaimi Mohd Yunus yang ditemui berkata, Kejohanan Terbuka Malaysia ini merupakan kali ke-23 di negara ini di mana kejohanan pertama berlangsung di Lanjut, Rompin pada tahun 1999.
“Kawasan ini (pantai) pertama kali dipilih di Malaysia dan Kuantan dipilih untuk menjadi tuan rumah kali ini untuk Beach Woodball Championship World Cup bagi kali ketiga. Ini merupakan satu penghormatan untuk negeri Pahang. Ini dapat menarik peminat sukan woodball dari seluruh dunia untuk datang. Alhamdulillah hari ini dapat direalisasikan.
“Saya berharap Kerajaan Negeri Pahang terus memberi sokongan dan penganjuran sukan ini akan lebih kerap diadakan disini memandangkan kita ada aset yang baik di sini,” katanya.
Seramai 485 peserta secara keseluruhan melibatkan 12 buah negara termasuk 150 peserta dari Malaysia
Kejohanan Piala Dunia Woodball Pantai Ketiga yang sedang berlangsung ini merupakan kesinambungan daripada First Beach Woodball World Cup Championship 2017, di Bintan Island Indonesia pada 9 Ogos sehingga 14 Ogos 2017; dan Second World Cup Beach Woodball 2019, di Uganda pada 25 Mei sehingga 31 Mei 2019. – PAHANGMEDIA