Oleh: Farahin Rosli
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 27 JULAI 2023: Tiga buah sekolah di negeri ini menerima anugerah dan sijil kecemerlangan kerana mencapai sasaran KPI murid boleh membaca melalui Program Baca Cepat Kawanku (BCK).
Sekurang-kurangnya 94 peratus sasaran KPI murid boleh membaca berjaya dicapai iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Sentul dan SK LKTP Terkam Utara manakala 100 peratus murid boleh membaca dianugerahkan kepada SK Teluk Sentang, Temerloh.
Dalam pada itu, menurut Guru Besar SK Teluk Sentang, Puan Jamaiah Shamsuddin, ini adalah kali pertama penglibatan sekolah itu dalam program BCK.

“Program BCK ini melibatkan murid Tahun 1 di SK Telok Sentang di mana seramai 27 orang murid dan separuh daripadanya adalah murid berbangsa Melayu manakala separuh lagi adalah Orang Asli. Program ini bermula pada bulan Julai tahun sudah (2022).
“Tahun lalu merupakan tahun pertama kami menyertai program ini dan untuk tahun seterusnya sekolah kami tersenarai untuk mengambil bahagian lagi dalam program ini,” katanya.
Ujarnya lagi, program ini dilihat amat membantu dalam usaha memastikan kadar boleh membaca murid Tahun 1 di negeri ini khususnya.
“Alhamdulillah dengan adanya program BCK anjuran Yayasan Pahang ini, banyak membantu pihak sekolah untuk memastikan murid kami berjaya melepasi konstruk yang telah ditetapkan di dalam program ini,” katanya.
Program Bacalah Cepat Kawanku (BCK) merupakan program kolaborasi antara Yayasan Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah bagi membantu meningkatkan kadar celik huruf murid di sekolah rendah murid Asli atau luar bandar seawal Tahun 1.
Sehingga kini, terdapat 12 sekolah murid Asli atau luar bandar di daerah Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran, Bentong dan Cameron Highland yang mengambil bahagian dalam program ini. – PAHANGMEDIA