YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama enam pelajar Orang Asli yang mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)

KERAJAAN PAHANG HARGAI PELAJAR ORANG ASLI DAPAT KEPUTUSAN CEMERLANG

Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 27 JULAI 2023 : Enam pelajar Orang Asli yang mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima insentif sumbangan daripada Kerajaan Pahang.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu majlis ringkas di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.

Menurut seorang penerima, Syaflin Kimieadley Rosli yang mendapat 9A dalam SPM baru-baru ini, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Pahang dengan sumbangan insentif ini.

Syaflin Kimieadley Rosli

“Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang yang hadir pada hari ini untuk menyampaikan sendiri insentif kepada penerima. Ini adalah satu penghargaan kepada saya untuk terus berjaya pada masa akan datang.

“Saya bersyukur dengan kejayaan yang diraih selepas berusaha sepanjang tahun bagi menghadapi peperiksaan SPM tahun lalu. Sokongan guru, rakan-rakan dan keluarga menjadi pencetus kepada kejayaan yang begitu membanggakan buat saya,” katanya yang sedang menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Gambang di sini dalam bidang Sains Hayat.

Mazwin Faulin Mohd Azim

Bagi Mazwin Faulin Mohd Azim yang memperoleh CGPA 3.84 dalam STPM baru-baru ini, sumbangan ini amat bermakna baginya kerana satu penghargaan kepadanya untuk terus berjaya.

“Insentif yang diberikan kerajaan negeri ini dapat meningkatkan semangat dan kesungguhan pelajar Orang Asli di Pahang untuk berusaha memburu kejayaan dalam bidang akademik,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berharap insentif ini dapat membantu mereka meneruskan pelajaran sekaligus memberi semangat kepada anak-anak Orang Asli yang lain untuk berjaya dalam pelajaran. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram