PENERIMA CEK SUMBANGAN HARGAI KEPRIHATINAN KERAJAAN PAHANG

Oleh: Farahin Rosli

BENTONG, 26 JULAI 2023: Para penerima cek sumbangan hari ini rata-rata meluahkan rasa teruja di atas bantuan yang dihulurkan oleh pihak Kerajaan Negeri Pahang.

Bagi Puan Hajah Norhasmimi Abd Ghani yang merupakan Pengerusi Kelab Nita Sihat dan Prihatin, Kuala Krau, sumbangan yang diterimanya hari ini dapat digunakan untuk kelancaran program dan aktiviti-aktiviti kelab.

Puan Hajah Norhasmimi Abd Ghani

“Kelab ini fokus kepada program-program dan aktiviti kesihatan manakala prihatin merujuk kepada program-program kebajikan, ziarah dan sebagainya.

“Saya mewakili Persatuan Kelab Nita Sihat dan Prihatin, Kuala Krau menerima sumbangan daripada kerajaan negeri sebanyak RM20,000 untuk melaksanakan pelbagai program bagi kelab,” katanya.

Beliau juga sempat melahirkan rasa syukur diatas sokongan Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa prihatin terhadap kelab dan persatuan berkaitan wanita di negeri ini.

Manakala bagi penerima lain iaitu Mohamad Shafiq Safnan, 24, yang berasal dari Chenor, sumbangan yang diterima sebanyak RM4,000 adalah untuk menampung pembiayaan kos perubatan bapanya.

Mohamad Shafiq Safnan

Tambahnya lagi, bapanya yang sebelum ini bekerja di sebuah bengkel besi sudah bertahun-tahun menderita sakit dan tidak lagi mampu bekerja.

“Ayah saya telah menghidap penyakit gastrik dan semput kira-kira tujuh tahun dan kini sedang dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh selain sering mendapat rawatan di klinik-klinik swasta.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail atas sumbangan yang diberikan hari ini. Semoga dipermudahkan urusan dunia dan akhirat,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram