Oleh : Fairus Mohd dan Farahin Rosli
BENTONG, 26 JULAI 2023: Keperluan rakyat di kawasan pembangkang tidak pernah diabaikan, malah jawatan Penyelaras DUN diwujudkan di kawasan tersebut bagi memudah cara untuk membantu rakyat.
Bagi Penyelaras DUN kawasan Jengka, Dato’ Sri Dr. Hj. Ismail Mohamed Said, setiap keperluan rakyat tidak pernah ditolak ketepi bagi meringankan beban kehidupan mereka.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang kerana mengambil satu tindakan yang tepat dan bijak melantik penyelaras-penyelaras DUN bagi kawasan-kawasan yang dimenangi oleh pembangkang. Sebagai penyelaras DUN kita mesti bekerjasama sejajar dengan hasrat dan dasar yang diputuskan oleh pihak kerajaan negeri.

“Melalui penyelaras DUN, keperluan rakyat dapat kita bantu. YAB Menteri Besar berkata, bawa masalah rakyat ini terus kepada beliau. Sebagai contoh, hari ini kita menerima beberapa cek hasil permohonan oleh penduduk di DUN Jengka.
“Alhamdulillah, yang saya bangga dan tabik YAB Menteri Besar kita, tiada potongan satu sen pun dibuat oleh beliau. Maknanya keperluan rakyat satu sen pun tidak dipotong,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang di Majlis Perbandaran Bentong.
Sebanyak RM422,474.00 nilai sumbangan diserahkan kepada 15 orang penerima oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Dr Hj Ismail berkata, mereka masih berpeluang untuk berbakti kepada rakyat walaupun tidak bergelar sebagai wakil rakyat secara rasmi.
“Sebagai penyelaras DUN, kami bertindak untuk turun padang dan menyelami masalah yang dihadapi oleh rakyat atau penduduk setempat. Alhamdulillah kami dapat membantu rakyat dalam kawasan DUN Jengka ini.
“Apabila dilantik sebagai Penyelaras DUN, setiap hari Jumaat jika tiada urusan rasmi dan sebagainya, saya akan buka Klinik Rakyat, dan lebih dari 100 orang (rakyat) datang berjumpa. Mereka menyatakan hasrat tentang bantuan pendidikan, persekolahan anak-anak, ahli keluarga sakit dan uzur dan sebagainya. Tak kurang juga yang membuat aduan tentang kemudahan prasarana setempat,” tambahnya lagi. – PAHANGMEDIA