Oleh : Fansurina Abdullah
JERANTUT, 26 JULAI 2023 : Pahang merupakan negeri ketujuh yang meneruskan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Tahun 2023 selepas dimulakan di Perak, Kedah, Pulau Pinang Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Bermula hari ini sehingga Jumaat, peserta konvoi Negeri Pahang yang terdiri daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Penerangan Negeri Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pahang, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang dan Kelab Permotoran BMW K-16 Malaysia akan meneruskan konvoi ke tujuh lokasi.
Ketua Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Negeri Pahang yang juga pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Pahang, YBrs Encik Mazli Hamdan berkata, tujuh lokasi itu bermula dengan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Indera Mahkota, Kuantan, Mydin Mall Bandar Pusat Jengka, Kompleks Sukan Daerah Jerantut pada hari pertama.
Pada hari kedua pula, konvoi diteruskan ke Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim di Kampung Peragap, Temerloh, Dewan Orang Ramai Kampung Batu Papan di Bera dan Kelab Golf Diraja Pekan.
Rombongan Kembara Merdeka seterusnya meneruskan konvoi ke Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah di Rompin pada hari terakhir sebelum menyerahkan Jalur Gemilang kepada rombongan Negeri Johor.
Pergerakan semua peserta terlibat pada hari pertama adalah baik dan berjalan lancar hasil kerjasama daripada pihak PDRM yang mengiring peserta konvoi di sepanjang perjalanan.
Encik Mazli turut mengajak orang ramai untuk sama-sama memeriahkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang kali ini sebaik sahaja peserta konvoi singgah di lokasi seperti yang disebutkan. – PAHANGMEDIA