Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 25 JULAI 2023 : “Tiada keperluan langsung untuk membandingkan Kelantan dan Pahang,” itu tegas YB. Fadzli Mohamad Kamal dalam satu hantaran di media sosial beliau.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang tersebut melahirkan rasa terkilan dengan kenyataan Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah kelmarin yang menyamakan kemajuan pembangunan di kedua-dua negeri tersebut.
Beliau berkata, Timbalan Menteri Besar Sementara Kelantan yang juga Naib Presiden PAS sepatutnya lebih fokus kepada menyampaikan manifesto PAS Kelantan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Sepatutnya Mohd Amar lebih fokus kepada menyampaikan manifesto PAS Kelantan dalam PRN kali ini terutama bagaimana ingin menaiktaraf Kelantan ke ‘Liga Super’ dan bukannya berbangga mengisytihar Kelantan selesa dalam ‘Liga Bawahan’.
“Lebih dahsyat lagi, beliau turut mengheret Pahang kononnya turut berada sama di kancah Liga Bawahan itu juga. Tindakan ‘menepuk air didulang’ ini amatlah dikesali kerana secara langsung mendedahkan kelemahan pentadbiran sendiri,” katanya.
Beliau turut berkongsi lima perkara yang telah dicapai oleh Pahang dalam masa terdekat namun menegaskan beliau tidak berhasrat menjadikannya sebagai perbandingan di antara Kelantan dan Pahang.
“Pertama, peningkatan kutipan Hasil Pendapatan Negeri Pahang yang konsisten tahun demi tahun, dan telah pun melepasi RM1 billion pada tahun 2022; kedua, kejayaan menarik pelaburan bernilai melebihi RM20 bilion pada tahun 2022 dan ketiga pengurangan hutang kerajaan Negeri yang signifikan daripada RM3.31 bilion (sebelum tahun 2018) kepada RM952.21 juta setakat tahun 2022.
“Keempat pula kejayaan penyaluran bantuan dan program kebajikan kepada rakyat berjumlah RM77.95 juta pada tahun 2022; dan yang terbaru, pada Jun lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyenaraikan Pahang di kedudukan negeri ketiga terbaik di Malaysia atas kejayaan merekodkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 10.8 peratus, iaitu selepas Pulau Pinang (13.1%) dan Selangor (11.9%),” katanya.
Beliau turut meminta agar permainan politik persepsi seperti ini dihentikan serta meminta Dato’ Haji Mohd Amar untuk memberi tumpuan kepada negeri Kelantan sahaja.
“Saya tidak boleh membaca niat sebenar Mohd Amar yang dilihat cuba merendahkan kemajuan dicapai Negeri Pahang. Namun statistik pencapaian ini menceritakan segala-galanya.
“Saya berharap agar permainan politik persepsi seperti ini dihentikan. Jika tidak tahu menari, janganlah dikatakan lantai jongkang-jongket. Setiap negeri ada keunikan masing-masing.
“Demografi berbeza, geografi juga berbeza. Menarilah mengikut rentak masing-masing. Di Pahang, kami menari ikut rentak Joget Pahang. Dan paling utama… kedudukan Liga kita tak sama. Fokuslah di Kelantan, jangan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” katanya.
Sebelum itu, Dato’ Haji Mohd Amar membuat perbandingan terhadap tahap pembangunan di Kelantan yang dikatakan satu liga dengan Pahang dan Negeri Sembilan dalam sebuah program diskusi Kelantan Maju 2028 yang disiarkan Facebook Kelantan TV pada Ahad lepas. -PAHANGMEDIA