Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 25 JULAI 2023 : Tidak sekadar membangunkan Pekan Dong yang dilanda kepadatan, cadangan untuk menaiktaraf kawasan tersebut turut meliputi usaha melindungi nilai sejarah dan warisan turun temurun yang ada di situ.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, mesyuarat pertama yang diadakan bersama PLANMalaysia Pahang dan kepimpinan daerah Raub dapat memberi gambaran jelas terhadap usaha yang ingin dilaksanakan.

“Kita ingin menaik taraf dan menambah baik Pekan Dong yang sekian lama menjadi pusat perniagaan terpenting orang Melayu di Dong dan Raub. Mesyuarat yang diadakan hari ini membentangkan cadangan serta kajian yang telah dilakukan pihak PLANMalaysia seperti penambahbaikan, menukar wajah serta cadangan-cadangan lain.
“Saya cukup positif mendengar segala cadangan tersebut dan saya percaya bahawa usaha ini boleh dilakukan dengan kepakaran dan sokongan daripada PLANMalaysia dengan dibantu agensi-agensi terlibat.
“Saya juga bersetuju melantik Ketua Pegawai Daerah (KADO) Raub untuk mengetuai program ini dan dibantu oleh Majlis Daerah Raub atas khidmat nasihat dan bimbingan PLANMalaysia,” katanya selepas menghadiri mesyuarat berkenaan cadangan naik taraf Pekan Dong, di Pejabat PLANMalaysia Pahang di Kompleks Tun Razak hari ini.
Hadir sama Pengarah PLANMalaysia Pahang, TPr Nik Noraisu Nik Ibrahim, Ketua Penolong Pegawai Daerah Raub, Encik Khairul Fahmi Yusof, Penghulu Mukim Dong, Encik Mohd Nor Baharom dan Penghulu Mukim Ulu Dong, Encik Faizal Riza Kaharuddin.
Dalam pada itu beliau berkata, perancangan dan gerak kerja yang bermula hari ini akan dipantau setiap bulan dan pihaknya berterima kasih kepada PLANMalaysia Pahang kerana menyatakan komitmen untuk menjayakan rancangan ini.
“Saya gembira kerana melihat perancangan ini boleh dilaksanakan walaupun ada beberapa perkara kita perlu lakukan seperti satu sesi libat turus dengan peniaga, penduduk, jabatan serta agensi tertentu.
“Memang ia mengambil masa tapi kita kena mulakan, sudah sampai masa buat penambahbaikan dan keperluan di sana pun kita lihat semakin bertambah. Andaikata ada projek pembangunan lain jadi kawasan ini akan mendapat lebih tumpuan dan usaha ini dilakukan tepat pada masanya,” katanya.
Sementara itu Pengarah PLANMalaysia Pahang, TPr Nik Noraisu Nik Ibrahim berkata pihaknya telah ada rancangan tempatan melibatkan cadangan-cadangan terperinci untuk Pekan Dong.
“Jadi kita akan angkat ke Jawatankuasa Siasatan Tempatan pada 1 Ogos ini dan sekiranya ada masalah kita akan bawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, jadi semua projek-projek ini kita telah maklumkan termasuk Pekan Sehari Warisan.
“Kita dah ada sasaran perlaksanaan sehingga Fasa Kedua iaitu tahun 2026 hingga tahun 2030, jadi kita kena bergerak sekarang sebab kita nak dapatkan bajet ni untuk laksanakan semua perancangan,” katanya.
Menurutnya lagi, PLANMalaysia komited untuk bantu merealisasikan segala perancangan dan tidak mahu segala cadangan hanya tinggal dalam dokumen semata-mata. – PAHANGMEDIA