PEMBAYAR HARGAI PENGURANGAN PREMIUM CUKAI TANAH

Oleh: Farahin Rosli

RAUB, 22 JULAI 2023 : Inisiatif pengurangan bayaran premium cukai tanah oleh Kerajaan Pahang memberikan kelegaan kepada penerima.

Puan Nurul Aqilah Mohamad Rohizat dari Kuala Gali, Dong, 30, yang ditemui menzahirkan rasa terima kasih kepada Kerajaan Pahang kerana menerima pengurangan cukai disamping dapat mengurangkan bebannya.

Puan Nurul Aqilah Mohamad Rohizat

“Saya sudah lama mohon pengurangan cukai ini, Alhamdulillah Kerajaan Pahang luluskan. Saya pula baru mendapat kerja, jadi saya tiada sumber pendapatan untuk membayar cukai.

“Jumlah yang sepatutnya saya bayar ialah dalam RM20,000 jadi dengan pengurangan premium ini, kuranglah sedikit beban saya. Terima kasih Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang,” katanya yang berasal dari Kuala Gali, Dong.

Manakala seorang lagi pembayar cukai, Dato’ Abu Jimi Samat, 55, beliau amat bersyukur di atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa cakna dalam meringankan beban pembayar cukai.

Dato’ Abu Jimi Samat

“Orang-orang kampung diberikan kadar pengurangan cukai dimana ianya sangat membantu. Saya mewakili keluarga-keluarga ini sangat gembira dan menghargai usaha kerajaan negeri dan YAB Menteri Besar. Saya sendiri menerima manfaat atas inisiatif Kerajaan Pahang,” katanya.

Seramai 31 orang pembayar cukai menerima pengurangan premium pembayaran cukai tanah di Karnival Tanah Pahang bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Raub hari ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram