Oleh: Farahin Rosli
RAUB, 22 JULAI 2023: Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM9.64 juta untuk Bantuan Prihatin Pahang (BPP) bagi kluster anak yatim, Majlis Kebajikan Negeri Pahang dan siswa pada tahun ini.
Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan berkata, dua kategori BPP iaitu Kluster Rumah Anak Yatim dan Kluster Majlis Kebajikan Negeri Pahang masing-masing mendapat peruntukan sebanyak RM140,000 dan RM600,000.
“RM140,000 diperuntukkan untuk setiap rumah anak yatim yang berdaftar, dimana di negeri Pahang kita ada 14 buah pusat rumah anak yatim yang berdaftar, dan setiap pusat kita beri RM10,000.
“Hari ini saya telah menyerahkan (bantuan) kepada rumah anak yatim yang pertama iaitu Rumah Anak Yatim Tengku Ampuan Afzan, Raub,” katanya
Manakala bagi Majlis Kebajikan Negeri Pahang, sejumlah RM600,000 diperuntukkan bagi menampung keperluan dan perbelanjaan dalam membantu masyarakat.

“Bantuan ini bertujuan untuk menampung ruang yang masih kekurangan. Sekiranya ada permohonan atau permintaan daripada mana-mana bahagian kebajikan, Majlis Kebajikan akan mengambil bahagian untuk menampung keperluan ini,” tambah beliau.
Sementara itu, Nurul Balqis Mohamad Azhar yang mewakili Majlis Mahasiswa Anak Pahang meluahkan rasa terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang diatas penambahan jumlah BPP Siswa yang diterima mereka pada tahun ini.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang dan Yayasan Pahang kerana menyediakan satu insentif khas buat mahasiswa di negeri ini.
“Penambahan jumlah BPP Siswa untuk tahun ini iaitu sebanyak RM300 berbanding RM200 pada tahun lepas merupakan berkat pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang di atas keprihatinan terhadap mahasiswa Pahang,” katanya yang merupakan Timbalan Presiden I MAMPAN. – PAHANGMEDIA