Oleh : Fansurina Abdullah
RAUB, 22 JULAI 2023 : Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan UMNO mampu meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Ogos depan.
Jelasnya, meskipun negeri terbabit bukanlah dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) namun hasrat dan semangat untuk meraih kemenangan harus disemat.
“Harapan kita untuk menanglah, kita bertanding secara sihat, kita akan memberi persaingan walaupun negeri itu dimiliki oleh bukan Barisan Nasional.
“Kita telah mengetengahkan calon-calon yang berupaya, berwibawa untuk menjadi wakil kepada masyarakat setempat dan saya berharap rakyat-rakyat yang mengundi di negeri-negeri berkenaan, membuat penilaian tepat yang difikirkan boleh mewakili mereka untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Gimik Pakej Perpaduan TM bersempena Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2023 di Perkarangan Tapak Sehari Dong sini hari ini.
Hadir sama Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan, Pemangku Pengarah Penerangan Pahang, YBrs Encik Mazli Hamdan dan Pegawai Daerah Raub, YBrs. Tuan Mohd Khuzaidi Harun.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak pembangkang yang menganggap UMNO merupakan persaingan pada PRN ini disebabkan kerana UMNO memiliki kekuatan dari peringkat akar umbi dalam memperjuangkan parti.
Semalam, BN mengumumkan 107 calon yang akan bertanding pada PRN di enam negeri pada bulan depan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah tersebut merangkumi 62 peratus muka baharu, penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 18 peratus dan pernah bertanding (20 peratus). – PAHANGMEDIA