Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 21 JULAI 2023 : Sebanyak 12 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dijangka dapat ditubuhkan di negeri ini menjelang 2025 bagi menampung faktor geografi negeri ini yang luas.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun berkata ini memandangkan PBS merupakan barisan hadapan yang bergerak ketika berlakunya masalah dan bencana di kawasan luar bandar.
“Sudah sampai masa untuk kita perkasakan pasukan bomba sukarela ini kerana mereka adalah frontliners sebelum pasukan bomba sebenar datang dan kita faham kebanyakkan balai bomba ini berada di bandar-bandar dan nak cover satu daerah itu, jauh.
“Jadi dengan wujudnya pasukan bomba sukarela ianya membantu dan telah terbukti semasa banjir di Janda Baik kerana merekah ke hadapan terlebih dahulu.
“Kita target lagi 12 (PBS) tambahan sehingga 2025 dan kita akan bincang berkenaan perkara ini kerana mungkin tak perlu tunggu sampai 2025, mungkin tahun depan kita nak terus selesaikan penubuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Geran Pasukan Bomba Sukarela Negeri Pahang Tahun 2023 di Dewan Sri Mahkota, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, YS. Dato’ Ir. Ts. Dr. Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa; dan Timbalan Pengarah JBPM Negeri Pahang, Md. Gezani Md Ghazi.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan berbincang bersama JBPM Negeri Pahang bagi memastikan PBS ini dapat ditambah di kawasan luar bandar.
“Kita tengok tadi kebanyakkan tadi PBS yang ada dari Pahang Barat, daripada Bentong, Raub, tapi Lipis ada satu sahaja (PBS). Sebagai contoh di Lipis kita perlukan lagi (PBS) mungkin dalam tiga atau empat lagi.
“Dan kita Kerajaan Negeri harus memikirkan maknanya bukan kita tunggu mereka volunteer untuk mewujudkan (PBS),” katanya.
Sebanyak 860 keahlian direkodkan sebagai anggota PBS dengan 702 adalah ahli aktif dan diinsuranskan melibatkan 30 PBS aktif daripada 37 pasukan keseluruhan. – PAHANGMEDIA