Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Johari Harun ketika Majlis Penyerahan Geran Pasukan Bomba Sukarela Negeri Pahang Tahun 2023 di Dewan Sri Mahkota, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang hari ini

PASUKAN BOMBA SUKARELA DIPERLUKAN DI KAWASAN LUAR BANDAR

Oleh : Ain Nadhirah Basha & Nur Farahin Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 21 JULAI 2023: Kewujudan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri ini sangat signifikan dengan keperluan setempat terutamanya bagi kawasan luar bandar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, YS. Dato’ Ir. Ts. Dr. Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata penubuhan PBS ini dapat memberi penambahbaik kepada kes kecemasan di luar bandar.

“Mendepani suasana dan trend masa kini yang semakin mencabar, kewujudan serta fungsi Pasukan Bomba Sukarela ini tidak dapat dinafikan lagi.  

“Suka saya nyatakan disini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sentiasa berusaha dalam menambahbaik peralatan termasuk kenderaan pasukan ini sejajar dengan tugas mereka sebagai first responder bagi kes-kes kecemasan di daerah yang balai bomba adalah jauh dari kawasan kejadian.

“Melalui rekod jabatan ini juga, taburan Pasukan Bomba Sukarela di Negeri Pahang lebih tertumpu di kawasan-kawasan luar bandar atau remote area yang jauh dari Balai-balai Bomba iaitu sebanyak 13 pasukan di daerah Bentong, Jerantut dan Raub serta selebihnya di daerah- daerah yang lain menjadikan kewujudan pasukan ini sangat signifikan dengan keperluan setempat dan perlu diperkasakan lagi dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Pasukan Bomba Pasukan Sukarela Negeri Pahang Tahun 2023 di Dewan Sri Mahkota, Ibu Pejabat JBPM Pahang.

Turut hadir Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Johari Harun serta Timbalan Pengarah JBPM Pahang, PPJB Md Ghezani Md Ghazali.

Tambah beliau lagi, bagi memastikan kewujudan PBS kekal relevan, pihaknya sentiasa menambahbaik dan membuat perancangan bagi memperluaskan peranan mereka ke seluruh negeri.

“Balai-balai bomba di seluruh negeri sentiasa diminta mengenalpasti keperluan penubuhan pasukan ini di kawasan masing-masing terutama di kawasan remote area yang lebih 25 kilometer dari lokasi balai bomba terhampir.

“Kawasan sebegini dilihat berisiko kerana jarak respon yang lebih panjang dan amat memerlukan pasukan yang boleh bertindak awal sebelum ketibaan pasukan dari balai bomba,” katanya.

Sebanyak 860 keahlian direkodkan sebagai anggota PBS dengan 702 adalah ahli aktif dan diinsuranskan melibatkan 30 PBS aktif daripada 37 pasukan keseluruhan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram