Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 20 JULAI 2023 : Kerajaan Pahang melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah menahan enam individu terlibat aktiviti perlombongan bahan mineral tanpa lesen di sini hari ini.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan di laman sosial YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, turut di sita, dua buah jengkaut dan tiga buah lori tipper di lokasi kejadian.
“Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah berjaya menumpaskan satu aktiviti perlombongan bahan mineral dipercayai bauksit tanpa lesen atau pajakan yang sah di satu lokasi di Kuantan, petang tadi.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, sepasukan lapan orang anggota Pasukan Elit UPNP yang sedang melakukan rondaan di sekitar daerah Kuantan telah terlihat aktiviti tersebut kira-kira jam 2.15 petang.
“Anggota UPNP kemudiannya telah melakukan intipan dan melihat aktiviti perlombongan itu dengan menggunakan dua buah jengkaut dan tiga buah lori tipper sebelum serbuan dilakukan,” katanya.
Menurut beliau, pengusaha lombong gagal mengemukakan sebarang kelulusan bagi aktiviti memunggah bahan mineral berkenaan setelah di minta oleh pegawai Penguatkuasa UPNP.
Beliau berkata kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.
Beliau dalam kenyataannya turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pahang sentiasa melaksanakan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti penerokaan tanah secara tidak sah atau apa juga aktiviti-aktiviti yang menyalahi peraturan yang telah ditetapkan.
“Kerajaan Negeri juga akan mengambil tindakan yang tegas tanpa sebarang kompromi supaya aktiviti-aktiviti yang menyalahi peraturan ini dapat dibenteras dengan sehabis-habisnya,” katanya. -PAHANGMEDIA