Oleh : Fairus Mohd & Farahin Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 19 JULAI 2023 : Mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Yunos, 67, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 2023 Peringkat Negeri Pahang, hari ini.
Penyampaian anugerah berkenaan telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Keberangkatan baginda pada pukul 9.30 pagi diiringi YAM Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Hj Osman serta barisan kepimpinan negeri.
Pada majlis sama baginda turut menyampai empat lagi anugerah termasuk Anugerah Perkhidmat Agama (Allahyarham Khairul Amran Abdul Jalil), Anugerah Inovasi Jabatan (Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang), Anugerah Inovasi Kakitangan (Encik Barkatullah Mohd Bahari) dan Anugerah Sukarelawan Ummah (Majlis Belia Felcra Pahang).
Sementara itu Dato’ Sri Haji Abdul Rahman yang ditemui menzahirkan rasa gembira dan bersyukur di atas anugerah yang diterima malah menyifatkannya sebagai penghargaan yang tinggi bagi sepanjang tempoh khidmatnya.
“Menjunjung kasih Tuanku, dan terima kasih kepada semua pihak pimpinan kerajaan negeri khususnya kepada para pegawai dan kakitangan Mahkamah Syariah Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang dan Majlis Ugama Islam Pahang yang telah beri kerjasama kepada saya selama memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Syarie di Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, dan juga dapat menjayakan visi dan misi Mahkamah Syariah.
“Saya bersyukur dengan pengiktirafan yang diberikan kepada saya ini kerana apa yang disumbangkan itu mendapat iktiraf yang tidak terhingga. Semoga kita dapat meninggikan lagi syiar Islam di Pahang,” kata bapa kepada lima orang anak dan lima orang cucu ini.
Figura ilmuan berasal dari Kampung Kuala Bera yang pernah bertugas sebagai kadi Daerah Cameron Highlands, Lipis dan Pekan ini berharap agar anugerah berkenaan memberi manfaat kepada semua pihak.
Beliau yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan Diploma Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini sentiasa gembira dengan khidmatnya selama 39 tahun di bumi Pahang.
“Keluarga sentiasa memberi sokongan kepada saya dalam menjalankan tugas selama ini. Saya juga berasa gembira sepanjang bertugas di Mahkamah Syariah dan mudah-mudahan visi dan misi yang saya sebut tadi dapat memberi kejayaan yang besar kepada negeri Pahang itu sendiri sekaligus dapat meninggikan lagi syiar agama Allah di Pahang.
“Pembangunan Mahkamah Syariah dengan kerjasama dari Kerajaan Negeri Pahang telah terdiri bangunan baru Mahkamah Syariah terletak di Indera Mahkota dan juga di daerah Maran dan Bera, dan akan datang juga pembangunan mahkamah syariah di Temerloh dan Bentong akan diteruskan oleh kepimpinan baru Mahkamah Syariah,” katanya. – PAHANGMEDIA