Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal ketika mempengerusikan Mesyuarat Pelaksana 5G dan JENDELA di Negeri Pahang di Pejabat Daerah Kecil Genting di Genting Highlands, pagi tadi.

KERAJAAN PAHANG SASAR SELESAI ISU PEROLEHAN TANAH BAGI PEMBINAAN MENARA TELEKOMUNIKASI

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

BENTONG, 18 JULAI 2023 : Kerajaan Pahang menyasarkan penyelesaian isu perolehan tanah bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan 11 lagi menara telekomunikasi di negeri ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, sehingga kini pelaksanaan bagi pembinaan menara telekomunikasi berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan namun hanya 11 sahaja berkaitan isu perolehan yang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan.

“Menara telekomunikasi di bawah inisiatif JENDELA ini berjalan dengan baik mengikut perancangan kita mungkin ada sedikit kelewatan dari segi perolehan tapak, itu memang kita cuba selesaikan secara berperingkat satu persatu cuma mungkin ada masalah-masalah tertentu memang mengambil masa tetapi saya sering mengadakan perjumpaan berkala dengan agensi utama,” katanya.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelaksana 5G dan JENDELA di Negeri Pahang di Pejabat Daerah Kecil Genting di Genting Highlands, pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga kini dalam usaha menaiktaraf rangkaian telekomunikasi kepada 5G di mana rangkaian 4G kini sudah sedia dicapai di kebanyakan kawasan di negeri ini.

“Dalam inisiatif 5G ini masih baru di Pahang, kita sedang berunding lagi, kita akan buat ketetapan di peringkat Kerajaan Negeri untuk tambah baik dan percepatkan inisiatif 5G di Pahang. Manakala 4G tidak ada masalah di Pahang dan kita fokus kepada pembinaan menara yang majoriti di kawasan luar bandar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerjasama di antara pelbagai agensi terlibat turut mempermudah urusan menjadi lebih cepat khususnya berkaitan perolehan tanah membabitkan Jabatan Perhutanan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram