Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 17 JULAI 2023 : Penglibatan sukarelawan kebajikan di negeri ini mampu merubah serta membangunkan masyarakat setempat di Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini kerana para sukarelawan kini memainkan peranan lebih dari sekadar menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan Negeri.
“Program kesukarelaan dan khidmat sosial yang melibatkan ahli komuniti sebagai sukarelawan diwujudkan adalah sejajar dengan strategi yang telah ditetapkan melalui Perancangan Strategik 2020-2025 Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah NGO Kebajikan Berprestasi Tinggi Negeri Pahang 2023 yang dihadiri 190 sukarelawan daripada 38 pertubuhan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) di sini.
Turut hadir, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, YB. Dato’ Sabariah Saidan dan Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, YH. Dato’ Zulkhairi Zainol Abidin.
Sebanyak 18,000 sukarelawan kebajikan berdaftar telah direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang sejak 2018 sehingga 2020.
Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar Pahang turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Dato’ Zulkhairi yang dinaikkan pangkat dan akan memulakan tugas di Putrajaya hari ini.
Majlis berkenaan turut menyampaikan Anugerah Khas Menteri Besar yang merupakan anugerah tertinggi kepada Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEN) manakala bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Muhamad menerima Anugerah Tokoh kepimpinan Sukarelawan Kebajikan.
Selain itu, tiga ahli panel juri terlibat turut menetapkan masing-masing tiga penerima bagi Anugerah Ikon Sukarelawan Kebajikan dan Anugerah Pengurusan Kebajikan Berprestasi Tinggi. -PAHANGMEDIA