Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Penutup Eksesais Jungle Falcon Siri 1/2023 di Felda Sungai Panching Selatan hari ini.
KUANTAN, 16 JULAI 2023 : Eksesais Jungle Falcon merupakan ruang berkongsi kemahiran di antara Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama United Arab Emirates Land Forces (UAELF) dalam aspek peperangan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah demikian ketika Majlis Perasmian Penutup Eksesais Jungle Falcon Siri 1/2023 di Felda Sungai Panching Selatan hari ini.
Baginda melahirkan perasaan sukacita kerana eksesais ini merupakan satu kejayaan dalam merealisasikan persefahaman ketenteraan di antara pucuk pimpinan TDM bersama UAELF yang telah dipersetujui di Abu Dhabi, pada 31 Oktober 2022.
“Paling penting eksesais ini adalah bukti persaudaraan di antara Malaysia dan UAE. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk melahirkan rasa kesyukuran kepada Yang Mulia Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di atas sokongan yang diberikan.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada Menteri Pertahanan Malaysia dan juga kepada Panglima Tentera khususnya 4 Briged Mechanize di atas kejayaan penganjuran eksesais ini dan menjadi hos yang amat membanggakan kepada tentera darat dan UAE.
“Saya harap latihan ini ini akan memberi satu kenangan yang boleh kita banggakan di atas pelaksanaan yang cukup baik walaupun eksesais ini dilakukan di dalam ladang kelapa sawit, bukannya dalam hutan seperti yang biasa kita bertempur suatu ketika dahulu dan mudah-mudahan ianya sedikit sebanyak dapat memberi gambaran kepada tetamu kita daripada UAE,” titah baginda.
Baginda turut melahirkan perasaan bangga pencapaian dan keupayaan yang ditunjukkan oleh aset-aset yang dimiliki oleh 4 Briged Mechanize.
“Saya begitu bangga dengan pencapaian (semua yang terlibat) dan terima kasih kepada 4 Briged kerana inilah kali pertama saya dengan secara mata sendiri dapat melihat berapa banyak aset-aset dalam Briged Mechanize ini.
“Mereka (aset) telah menunjukkan keupayaan sebenarnya pada hari ini. Syabas dan berikan tepukan gemuruh kepada semua,” titah baginda.
Turut berangkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, Komander UAELF, Mejar Jeneral Saeed Rashid Al Shehhi; Menteri Pertahanan, YB. Datuk Seri Mohamad Hasan; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; dan YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Zulkifli Haji Yaacob. -PAHANGMEDIA