KUANTAN, 15 JULAI 2023 : Kerajaan Negeri menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah mengambil tindakan terhadap satu aktiviti pemindahan bahan batuan dipercayai tanah merah secara tidak sah di satu lot tanah di Kampung Bukit Pampong, Raub hari ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, Pegawai Penguatkuasa UPNP telah terlihat aktiviti tersebut dan seterusnya melakukan intipan di mana mereka mendapati sebuah jengkaut sedang memunggah tanah dan mengisi ke dalam sebuah lori tipper 3 tan.
“Lori tersebut kemudiannya keluar dari kawasan tanah diambil dan menghala keluar ke jalan.
“Pegawai Penguatkuasa telah bertindak menahan lori tersebut dan seterusnya meminta pemandu lori itu menunjukkan sebarang dokumen atau permit kelulusan berkenaan kerja yang dilakukan, namun gagal,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, selepas itu, seorang lelaki telah bertemu dengan Pegawai Penguatkuasa dan menyatakan dia adalah pemilik lot kawasan tanah dihantar dan dia mengaku kerja-kerja pemindahan bahan batuan itu adalah atas tanggungjawabnya.
“Pegawai Penguatkuasa kemudiannya telah meminta sebarang dokumen atau permit kelulusan berkenaan kerja yang dilakukan, namun pemilik tanah tersebut gagal berbuat demikian.
‘UPNP telah mengambil tindakan dengan merampas sebuah jengkaut dan sebuah lori tipper 3 tan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965 iaitu pencabutan atau pemindahan bahan batuan secara tak sah.
“Saya menasihati mana-mana pemilik tanah yang ingin melakukan pemindahan bahan batuan supaya mendapatkan maklumat dan nasihat terlebih dahulu daripada Pejabat Daerah dan Tanah kerana kemungkinan apa yang kita lakukan ini adalah menjadi satu kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara 1965,” katanya. – PAHANGMEDIA