Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin menyampaikan Surat Pelantikan Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Dewan Negeri Pahang kepada YB. Dato Sri Haji Shafik Fauzan Sharif

LIMA AJK PAC DILANTIK UNTUK PERIKSA, PANTAU KEWANGAN NEGERI

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 10 JULAI 2023 : Dewan Negeri Pahang Ke-15 melantik lima Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wan Negeri (Public Accounts Committee – PAC) bertujuan memeriksa dan memantau urusan kewangan negeri, kira-kira badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan menguruskan kewangan negeri.

Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin berkata, pelaksanaan tugas- tugas PAC mestilah mengikut perundangan dan peruntukan yang telah ditetapkan.

Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin

“Maksudnya dia mestilah mengikuti apa yang telah ditetapkan dan penyata-penyata audit tentang apa yang difikirkan oleh jawatankuasa ini diperiksa dan memastikan urusan dan pentadbiran wang negeri ditadbir secara baik dan sempurna.

“Jadi sebab itulah kita mempunyai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri untuk memastikan bahawar ketulusan dan tidak berlaku penyelewengan atau pun penyalahgunaan yang sengaja atau tidak disengajakan.

“Jadi ini mestilah mengikut prosedur yang telah ditetapkan kerana ini merupakan amanah dipegang oleh kita yang telah diamanahkan oleh rakyat yang memilih wakil-wakil rakyat dan Kerajaan Negeri untuk mentadbir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Dewan Negeri Pahang Dan Taklimat Audit di Bilik Mesyuarat Utama Wisma Audit Negara Negeri Pahang, petang tadi.

Hadir sama ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB Tuan Lee Chin Chen dan Pengarah Jabatan Audit Negara Negeri Pahang, YBrs Dr. Sayed Alwee Hussnie Sayed Hussin.

Pada majlis itu seramai lima Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Dewan Negeri Pahang Ke-15 telah menerima surat lantikan masing-masing yang telah disampaikan oleh Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar.

Mereka ialah Pengerusi PAC, YB. Dato Sri Haji Shafik Fauzan Sharif, Timbalan Pengerusi PAC, YB. Tuan Haji Rosli Abdul Jabar serta tiga ahli PAC iaitu YB. Dato’ Mustapa Long, YB. Tuan V. Arumugam Veerappa Pillai dan YB. Tuan Mohd Tarmizi Yahaya.

PAC dan Jabatan Audit Negara telah menjalinkan kerjasama dalam menegakkan akauntabiliti sektor awam dan memastikan fungsi pengawasan bagi pihak DUN dapat dilaksanakan.

PAC juga telah banyak meneliti isu-isu yang signifikan dari aspek ekonomi, sosial dan kepentingan awam.

Pada majlis sama turut dirasmikan Sudut Alam Hijau Wisma Audit Negara Negeri Pahang oleh Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

This will close in 0 seconds