Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 10 JULAI 2023 : Kerajaan Negeri Pahang melahirkan rasa bangga apabila sepuluh koperasi di negeri ini disenaraikan dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia bagi tahun 2022.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini menunjukkan sektor koperasi di negeri ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat setempat.

“Dan dari segi koperasi di Pahang, kita ada 10 koperasi yang berada dalam senarai 100 koperasi yang terpilih dan ini merupakan satu pencapaian yang agak baik tetapi kita kena berusaha lagi. Kita di Pahang ada 1,146 koperasi dan ahlinya ada lebih kurang 300,000 lebih. Walaupun perolehan daripada koperasi tersebut adalah RM970 juta.
“Saya harap YB Menteri dapat terus membantu koperasi di negeri Pahang dan kita di Pahang sentiasa memberi perhatian untuk bantu koperasi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan di sini hari ini.
Turut hadir, YB. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick; Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) , Datuk Seri Dr. Haji Abdul Fattah Abdullah dan Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut komited dan menyokong gerakan koperasi negeri ini serta peka dengan masalah yang dihadapi oleh koperasi dan ahlinya.
“Malahan ada koperasi-koperasi yang kita bagi tanah contohnya Koperasi Felda dan koperasi-koperasi lain kerana kita tahu kalau kita bagi tanah kepada koperasi, manfaatnya akan dapat dikongsi oleh ramai ahli-ahli koperasi dalam bentuk dividen sekiranya tanah tersebut dibangunkan dan dimajukan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada SKM dan Kementerian kerana banyak menyumbang kepada Kerajaan Negeri Pahang, kepada koperasi di Pahang, terutama semasa musim banjir, ribut petir baru-baru ini.
“Dan tadi ada pemberian bantuan dalam bentuk geran, dimana pinjaman cuma satu peratus sahaja, mana ada di tempat lain bagi pinjaman RM2 juta, RM6 juta dengan satu peratus sahaja,” katanya. – PAHANGMEDIA