Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 09 JULAI 2023 : Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan RM250,000 bagi proses menaiktaraf Pusat Anyaman dan Kraf Cherating yang telah beroperasi lebih 40 tahun di sini.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata ia bagi merealisasikan Pusat Pengembangan Ekonomi Wanita Kerajaan Negeri Pahang yang Pertama di negeri ini.
“Pusat ini akan bekerjasama dengan Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP). Wanita adalah tunjang kesejahteraan keluarga dan pembangunan negeri. Peranan dan sumbangan mereka cukup besar. Berpegang kepada pendirian ini, Kerajaan Negeri terus komited melaksanakan program khusus untuk wanita Pahang yang akan dilaksanakan melalui Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Pahang.
“Kerajaan Negeri akan mewujudkan Pusat Pengembangan Keusahawanan Wanita Pahang di empat daerah terpilih iaitu Kuantan, Bera, Temerloh dan Lipis dengan peruntukan RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Penutup Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku – Wins Peringkat Kemas Negeri Pahang di Ruang Legar Pasaraya Kuantan Parade.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), YBrs. Tuan Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi; Pengarah Bahagian Pendidikan Kemahiran KEMAS, YBrs. Dr Haji Zainal Abidin Haji Ali; Pengarah KEMAS Negeri Pahang, YBrs. Encik Zulkefli Ahmad Nazri; Penolong Pengarah Unit Pembangunan Komuniti dan Pendidikan Kemahiran KEMAS Negeri Pahang, Puan Liyana Jamaludin; dan Ketua Unit Pembangunan Wanita Negeri Pahang, Puan Mazlina Mohamed@Mohamad Lazim.
Beliau berkata program WINS yang dilaksanakan oleh KEMAS adalah manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada usahawan khususnya golongan wanita tanpa mengira latar belakang, etnik, ekonomi dan budaya.
“Pelbagai usaha untuk mempertingkatkan kemahiran dan keilmuan wanita dalam bidang perniagaan dan keusahawanan telah diadakan secara berterusan dari semasa ke semasa KEMAS. Hal ini penting terutama di zaman sains dan teknologi ini, usahawan harus peka dengan perubahan semasa bagi memastikan kita mampu bersaing di arena perniagaan yang sentiasa terbuka luas.
“Oleh itu, bagi menyemarakkan lagi usaha ini, KEMAS telah membawa inisiatif dengan mengadakan Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) 2023 di sini pada hari ini. Program ini dilihat sebagai satu pengiktirafan atas peranan dan sumbangan wanita kepada pembangunan negara seterusnya sebagai penggerak utama kemajuan negara dan pembangunan institusi keluarga.
“Dengan melaksanakan langkah-langkah ini kita akan memperkukuhkan kedudukan wanita dalam masyarakat, meningkatkan taraf hidup wanita, dan mendorong penyertaan aktif wanita dalam pembangunan negeri,” katanya.
Program WINS dengan slogan Wanita Desa ke Global merupakan satu platform menghimpunkan peserta kelas kemahiran di bawah bimbingan KEMAS khususnya golongan wanita bagi memperoleh inspirasi dan motivasi dari usahawan berjaya di negara ini.
Sebanyak 14 siri program WINS dijalankan di setiap negeri melibatkan kos berjumlah RM840,000 yang mensasarkan seramai 5,000 orang peserta bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan program ini. -PAHANGMEDIA