Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 6 JULAI 2023 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkesempatan meraikan kelahiran bayi di Hospital Kuala Lipis pada Program Kick Off Pahang Pride Kid 2023, pagi tadi.
Pada kunjungan itu,beliau turut menyampaikan barangan bayi, gold bar dan Sijil Pahang Pride Kid 2023 dengan jumlah keseluruhan RM4,500 kepada 15 ibu dan bayi di hospital berkenaan.
“Saya sempat bertemu dengan ibu-ibu yang telah melahirkan bayi dan ibu-ibu yang bakal melahirkan bayi dan juga bayi-bayi, lebih kurang dalam 15 bayi dan alhamdulillah saya dapati mereka semua ceria dan mendapat layanan sangat baik daripada hospital, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pihak hospital dan juga kesihatan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Kick Off Pahang Pride Kid 2023 di Hosiptal Kuala Lipis.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Indera Nor Azimi Yunus, Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Hafizi Ibrahim dan Pengarah Hospital Kuala Lipis, Dr. Idilia Ishahar.
Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM30 juta bagi pelbagai bantuan di bawah Program Kebanggaan Pahang termasuklah Pahang Pride Kid, Pahang Pride Kasih, Pahang Pride Student, Pahang Pride Athlete dan Pahang Pride Orang Asli.
Dalam pada itu, Kerajaan Pahang menjangkakan kadar kelahiran di negeri ini sebanyak 25,000 bayi sehingga penghujung tahun bagi meningkatkan kadar populasi penduduk di Pahang yang kini seramai 1.6 juta orang. – PAHANGMEDIA