Oleh: Nur Farahin Rosli
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 5 JULAI 2023 : Kesukaran hidup yang dilalui rakyat di negeri Pahang terus terbela dengan keprihatinan yang dijelmakan Kerajaan Negeri melalui pemberian cek sumbangan.
Salah seorang penerima, Encik Supian Abu Bakar yang berasal dari Kuala Lipis mengalami kesukaran dari segi pembiayaan pelajaran anaknya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke MRSM Tun Ghazali Shafie Kuala Lipis.
“Sumbangan yang diterima hari ini dapat digunakan untuk pembelian komputer riba dan perbelanjaan lain untuk melancarkan proses pembelajaran anaknya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang kerana dengan sumbangan ini saya dapat membeli komputer riba untuk anak saya,” katanya.

Manakala bagi Encik Mohd Noor Fitri Rohim yang mengalami masalah salur makan tersumbat, amat bersyukur kerana mendapat cek sumbangan dari Kerajaan Negeri Pahang untuk pembiayaan kos perubatan dan rawatan susulan.
“Jumlah sumbangan yang saya terima pada hari ini sebanyak RM10,000 akan saya gunakan untuk kos pembedahan dan rawatan susulan. Sudah enam bulan saya menderita penyakit ini,” katanya yang berasal dari Panching Selatan.
Seorang lagi penerima cek sumbangan, Mohd Afandi bin Abdul Manab, dari Kampung Bukit Genting, Jerantut turut menzahirkan rasa syukur kerana mendapat sumbangan bagi menampung kos rawatan isterinya yang menghidap kanser.
“Sumbangan ini adalah untuk pembiayaan kos rawatan isteri saya yang kini sedang dirawat di Institut Kanser Negara Putrajaya sekaligus dapat meringankan beban saya untuk menanggung tiga orang anak yang masih bersekolah dan juga seorang adik yang belum berkahwin”, katanya yang terharu sejurus menerima sumbangan dari YAB Menteri Besar Pahang.
Seramai 105 penerima Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang menzahirkan rasa syukur dan terharu di atas wang sumbangan oleh Kerajaan Pahang yang dapat membantu untuk meringankan beban mereka.
Encik Mahmad Najik Sintol yang berasal dari Felda Chini juga merupakan salah seorang penerima sumbangan dari Kerajaan Negeri Pahang. Beliau yang mengalami masalah mata berasa bersyukur kerana dengan sumbangan ini dapat membantu menampung kos rawatan matanya.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, selaku Menteri Besar Pahang kerana amat prihatin terhadap rakyat di bawah jagaannya”, katanya.
Sebanyak RM1.14 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk sumbangan yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Bilik Makan Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, hari ini. –PAHANGMEDIA