YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan Cek Kerajaan Negeri Pahang kepada penerima di Wisma Sri Pahang, hari ini.

KERAJAAN NEGERI SERAH RM1.41 JUTA CEK SUMBANGAN UNTUK RAKYAT PAHANG

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 5 JULAI 2023 : Penyampaian sumbangan yang dilakukan secara berkala oleh Kerajaan Negeri membuktikan bahawa pendapatan hasil yang mengalir ke bumi Pahang diserahkan kembali kepada rakyatnya.

Terkini, sebanyak RM1.41 juta disampaikan kepada 105 penerima hari ini meliputi keperluan rakyat di kawasan pembangkang melalui Penyelaras DUN, rawatan pesakit kronik, bantuan pendidikan (pembelian komputer riba), baik pulih surau, rumah ibadat bukan Islam serta NGO yang turut menerima sumbangan menyemarakkan lagi aktiviti masyarakat di kawasan masing-masing.

Namun begitu disebaliknya, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemampuan Kerajaan Negeri bukan hanya bergantung kepada kedudukan kewangan negeri, tetapi juga kestabilan politik yang perlu dikawal dengan baik.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Menurutnya, fitnah telah banyak memainkan peranan dalam merosakkan kestabilan politik sekaligus cubaan berkali-berkali merosakkan reputasi cemerlang Kerajaan Negeri.

“Bila ada fitnah, respon daripada netizen akan menjadi agresif dan dalam masa yang sama kalau fitnah ditujukan kepada individu atau pemimpin tertentu, ia mesti dijawab semula…ini melibatkan tumpuan dan masa yang sepatutnya boleh digunakan memikirkan bagaimana untuk membantu dan membangunkan rakyat, bagaimana membangunkan kawasan, memikirkan keperluan rakyat dan sebagainya.

“Fitnah ini akan menyebabkan fokus lari dan pembaziran masa, sebaliknya jika mahu bagilah kritikan membina kepada kerajaan daripada mengeluarkan fitnah, sebab itu kita tengok sekarang bila ada viral yang buat fitnah terhadap kerajaan, ada yang dikenakan saman,” katanya selepas menyampaikan Sumbangan Cek Kerajaan Negeri Pahang kepada 105 orang penerima di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Sementara itu mengulas berkenaan hasil kutipan semasa Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata setiap usaha berkaitan diberi tumpuan khusus bagi mencapai angka sasaran RM1 bilion.

“Setakat ini usaha berjalan dengan baik dan setakat setengah tahun (Jun) ini, kita dah dapat RM580 juta maknanya lebih daripada separuh, jadi saya optimis kita mampu mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Ini (hasil) tetap menjadi tumpuan walaupun saya memberi penekanan kepada politik, tapi prestasi hasil kerajaan negeri tak boleh leka sebab kita nak bagi kembali kepada rakyat,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram