YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 ECERDC di Hotel Zenith, di sini hari ini.

ECERDC BANTU TINGKAT EKONOMI PAHANG

Oleh : Fansurina Abbdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 4 JULAI 2023 : Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus kukuh dan komited dalam membantu meningkatkan ekonomi di Pahang apabila berjaya melonjakkan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2022 melebihi kadar pertumbuhan nasional 8.7 peratus.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penglibatan ECERDC dalam pembangunan modal insan negeri oleh Kerajaan Pahang juga dapat mengecilkan jurang pembangunan di kawasan luar bandar berbanding kawasan bandar.

“Memang semenjak ada ECERDC ini kita nampak peningkatan (pembangunan modal insan) terutama sekali kadar keciciran, jurangnya semakin menurun, kalau dulu kita dapati jurang keciciran di kalangan masyarakat Orang Asli begitu tinggi kerana mereka tidak datang ke sekolah tetapi apabila ada pembangunan modal insan, ECERDC telah turun ke padang dan mengambil bahagian secara terus untuk membantu supaya kadar keciciran Orang Asli ini dapat diturunkan.

“Dengan adanya ECERDC ini, peningkatan ekonomi bertambah dan telah dibuktikan pada tahun lepas Kerajaan Negeri Pahang menduduki tempat ketiga daripada segi KDNK melebihi paras nasional,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 ECERDC di Hotel Zenith, di sini hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Hadir sama ialah YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Zulkifili Yaacob, barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YH. Dato’ Baidzawi Che Mat.

Sejak 15 tahun penubuhan ECERDC, sebanyak RM162.3 bilion pelaburan komited berjaya dibawa masuk dengan RM80 bilion telah direalisasikan.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, beliau berharap lebih ramai penglibatan rakyat Pahang di dalam bidang keusahawanan dan ekonomi pada masa akan datang dan mensasarkan pembangunan lebih pesar di kawasan Pahang Barat dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram