YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

FASA PERTAMA PPSAS DIRASMI SEPTEMBER INI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 03 JULAI 2023 : Perasmian bangunan pentadbiran baharu Kerajaan Negeri Pahang di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) pada September ini melibatkan fasa pertama iaitu blok A.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan bangunan blok A berkenaan dijangka dapat diselesaikan pada September ini.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billa berkenan untuk merasmikan pada 25 September tahun ini dan kerja-kerja sedang giat dijalankan dan saya yakin ianya akan dapat diselesaikan sebelum tarikh berkenaan.

“Blok A ini meliputi pejabat Menteri Besar, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat Exco dan pegawai kanan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Blok Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan Kampung Acheh hari ini.

Menurut beliau, pembinaan fasa seterusnya di pusat pentadbiran baharu berkenaan akan dijalankan sebaik sahaja bangunan blok A siap sepenuhnya.

“Siap sepenuhnya (pusat pentadbiran), kita akan bagi tumpuan selepas blok A siap dan berlaku penangguhan (tempoh siap dibina) ini sebab COVID-19 dan itu adalah hakikatnya, kita tidak dapat nafikan,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan bagi bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang kini, beliau berkata ia masih belum diputuskan oleh Kerajaan Negeri.

“Kita belum fikir, kita akan fikir yang patut, yang munasabah, dan berpatutan untuk Kerajaan Negeri tapi setakat ini kita belum decide lagi,” katanya.

Tambah beliau lagi, urusan perpindahan ke Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) yang bernilai RM415.5 juta ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan tertakluk kepada tarikh siap bangunan berkenaan. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram