Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 27 JUN 2023 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) akan membantu mempromosikan sektor pelancongan di negeri ini dengan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri terlibat.
Datuk Bandar MBK, YH Dato’ Razihan Adzharuddin berkata ini bagi memastikan pengusaha pelancongan yang terjejas semasa COVID-19 dapat bangkit semula.
“Di pihak majlis sendiri kita mencari apa lagi yang boleh kita gabungkan bagi membantu menambahkan pendapatan para pemain industri pelancongan.
“Setakat ini produk yang terus di bawah MBK adalah Zoo Hybrid Dinosaur, Kuantan 188 yang mana kita akan terus membantu bukan sahaja dari segi promosi tapi juga bantu pengusaha-pengusaha supaya dapat bersaing dan bernafas kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis City Tourism Gathering 2023 di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Warisan MBK, YH. Dato’ Hasnul Hamidi Harun; Pengerusi Persatuan Homestay Malaysia, YH. Dato’ Haji Sahariman Hamdan; Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya Malaysia Negeri Pahang (MOTAC), YBhg. Encik Mohd Fharid Saidu; dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pahang, YBhg. Puan Nurwati Abdul Wahab.
Menurut beliau, pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak MOTAC bagi mengadakan satu karnival pekerjaan berkaitan sektor perhotelan yang dijangka diadakan pada Oktober ini.
“Ada aduan dari pengusaha hotel bahawa hotel kini mengalami kekurangan tenaga kerja dan kita akan bantu dengan membuat satu acara seperti karnival kerjaya di mana pihak hotel akan berjumpa secara terus pencari kerja.
“Mungkin kita akan adakan pada bulan Oktober di mana pelajar tahun akhir dapat bersama menyertai kita pada masa berkenaan,” katanya.
Beliau berkata MBK juga akan terus komited dengan dasar pelancongan negara yang selari dengan Kerajaan Negeri bagi mentransformasi sektor pelancongan negeri ini. – PAHANGMEDIA