Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal ketika Program Transformasi Digital: Pemodenan Perkhidmatan Sandaran dan Pemulihan Bencana melalui Pahang Go Cloud di Hotel Grand DarulMakmur, hari ini

KERAJAAN NEGERI TUMPU USAHA PENDIGITALAN PERKHIDMATAN

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 26 JUN 2023 : Pendigitalan kerajaan merupakan agenda negeri kini yang menjadi keutamaan dalam mendepani senario dan cabaran semasa seiring trend global.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, perubahan perlu dilakukan dalam memastikan perkhidmatan awam yang diberikan kepada rakyat terus diyakini dan dihormati selain untuk terus kekal relevan.

“Prinsip FASTER, iaitu Flat, Agile, Streamlined, Tech-enabled, Efficient dan Resilient perlu diamalkan di mana secara khususnya prinsip ini membolehkan penjawat awam sentiasa adaptif dan sensitif kepada kehendak semasa.

“Apa yang penting teknologi baharu ini akan mengubah ‘status quo’ dan kita perlu memanfaatkan teknologi ini supaya tidak ketinggalan. Kecekapan penyampaian perkhidmatan yang berpacukan analitik data akan menjadi agenda kerajaan pada masa hadapan dengan mengoptimumkan penggunaan dan perkongsian data melalui penciptaan produk data yang berpaksikan rakyat,” katanya.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Transformasi Digital: Pemodenan Perkhidmatan Sandaran dan Pemulihan Bencana melalui Pahang Go Cloud di Hotel Grand DarulMakmur, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif, Pahang Go, Encik Affandi Mohd Isa serta Naib Presiden Eksekutif Enterprise Business, TT dotCom Sdn. Bhd, Encik Kit Au.

Sementara itu beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada Pahang Go selaku syarikat berkaitan Kerajaan milik Kerajaan Negeri Pahang yang diberi mandat untuk melaksana inisiatif pendigitalan untuk seluruh Negeri Pahang meliputi perkhidmatan kerajaan dan rakyatnya.

“Melalui sinergi kolaborasi antara Pahang Go dan Time dalam mewujudkan inisiatif Pahang Go Cloud ini, ia memberi peluang kepada agensi Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan anak syarikat untuk memanfaatkan penggunaan emerging technologies seperti data analytics, artificial intelligence (AI), blockchain, internet of things (IoT), dan virtual/augmented reality (VR/AR).

“Ini juga adalah selari dengan Dasar Perkhidmatan Pengkomputeran Awan Sektor Awam menjelaskan berhubung keutamaan penggunaan pengkomputeran awam bagi pelaksanaan semua projek ICT agensi sektor awam terutamanya yang melibatkan aplikasi kritikal kerajaan.

“Justeru, saya menyeru semua agensi Kerajaan, Jabatan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun Negeri dan juga anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang untuk menggunapakai dan menyokong perkhidmatan Pahang Go Cloud ini khusus untuk perkhidmatan sandaran dan juga pengurusan pemulihan bencana,” katanya.

Beliau berharap agar inisiatif Pahang GO Cloud ini dapat dijadikan sebagai salah satu strategi ke arah melestarikan perkhidmatan Kerajaan Negeri yang mampan berasaskan kepada inovasi teknologi digital bagi merealisasikan sasaran yang telah digariskan dalam Pelan Digital Pahang 2021-2025 dan seterusnya memenuhi aspirasi MyDigital. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram