Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS, 24 JUN 2023 : Karnival Buku anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) akan diperluas ke semua daerah di negeri ini dengan memfokuskan kawasan luar bandar.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Lembaga PPAP berkata ia merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri bagi menarik minat membaca dalam kalangan masyarakat di Pahang.

“Kita akan perkembangkan (Karnival Buku) bergantung kepada PPAP, dan Kerajaan Negeri akan beri sokongan. Seelok-eloknya kita buat di kawasan-kawasan luar bandar bagi menarik minat anak muda di luar bandar untuk membaca buku.
“Dan ini adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk menarik minat dalam kalangan masyarakat kita terutamanya dalam kalangan pelajar, orang dewasa, belia untuk membaca buku.
“Ini kerana kita tahu bahawa tahap membaca buku rakyat Malaysia masih lagi terkebawah kalau dibandingkan dengan negara maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Buku Sungai Koyan 2023 di Dewan Laman Sejahtera hari ini.
Turut hadir, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga PPAP; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perpustakaan Awam Daerah Lipis, YB. Dato’ Mustapa Long; Pegawai Daerah Lipis yang juga Pengerusi Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Pahang serta Ahli Lembaga Pengarah PPAP, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim; dan Pengarah PPAP, Puan Nor Zahira Muhammad Azmi.
Sementara itu, Pengarah PPAP berkata Karnival Buku Sungai Koyan 2023 yang julung kali dianjurkan ini bertujuan mewujudkan masyarakat berilmu dan berbudaya membaca.
“Seiring keperluan semasa, Karnival Buku Sungai Koyan yang dianjurkan buat julung kalinya oleh pihak PPAP di Sungai Koyan ini, sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
“Karnival ini juga disertai oleh pempamer-pempamer hebat yang menyediakan bahan terbaik dan terkini untuk dijadikan koleksi semua pengunjung, ia sekaligus merealisasikan objektif PPAP untuk mewujudkan masyarakat yang berilmu dan berbudaya membaca,” katanya. -PAHANGMEDIA