Keadaan pintu kereta Myvi yang dirempuh oleh mangsa sebelum maut dalam insiden kemalangan maut semalam.

PEMANDU MYVI KELUAR MELULU PUNCA KEMALANGAN MAUT PENUNGGANG DUCATI

KUANTAN, 23 JUN 2023 : Kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi di Jalan Tanjung Lumpur di sini semalam dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu Myvi yang keluar simpang secara melulu.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu selepas siasatan awal oleh pihak polis.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian juga mendapati permukaan jalan yang rata dan kering selain tahap pencahayaan waktu malam yang baik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kejadian jam 9 malam itu menyebabkan mangsa, Khairul Azhan Mohd Naim, 31, yang menunggang Ducati Panigale V4 S maut di lokasi manakala pemandu Myvi berusia 27 tahun mengalami kecederaan di rusuk kanan.

Keadaan motosikal yang menyebabkan penunggangnya maut di Jalan Tanjung Lumpur.

Sementara itu beliau berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal dari arah bandar Kuantan menghala ke Pekan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, Perodua Myvi dipandu seorang wanita dipercayai keluar simpang kiri secara mengejut menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian pintu kanan hadapan kereta itu.

“Akibat itu, penunggang motosikal itu maut di tempat kejadian, manakala pemandu kereta wanita berusia 27 tahun mengalami kecederaan pada rusuk kanan,” katanya.

Wan Zahari berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Share this: