PRK CHINI: JADIKAN KEMENANGAN BN SATU MOMENTUM UNTUK PRU
Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Mahathir Ali
PEKAN 25 JUN 2020: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Negeri (DN) Chini nanti akan menjadi momentum kebangkitan parti itu untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ahli Parlimen Pekan, YB. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, terdapat khabar angin yang bertiup kencang bahawa PRU akan diadakan pada bila-bila masa atau tahun ini.
“Justeru saya yakin PRK Chini ini boleh menjadi momentum kepada BN yang sebelum ini telah bermula di bukit iaitu Cameron Highland sampailah ke kawasan lembah iaitu Chini,” katanya ketika ditemui media selepas Program Ramah Mesra dan Ziarah Kasih Orang Asli dan Ziarah Kasih di Kampung Orang Asli Tasik Mentiga, di sini hari ini.

Turut hadir, calon BN, Mohd Sharim Md Zain, Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, YH. Dato’ Sri Zamri Ramly dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pekan, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Sejak tahun lalu, BN mencatatkan lima kemenangan daripada enam PRK iaitu di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis, kecuali Sandakan yang dipertahankan DAP.
Malah pada PRK Parlimen Cameron Highlands, BN berjaya mempertahankan kerusi dengan majoriti lebih besar iaitu sebanyak 3,238 undi.
Sehubungan itu, YB. Dato’ Sri Mohd Najib berharap, Pahang boleh dijadikan sebagai landasan yang melambangkan kekuatan parti BN dan juga Muafakat Nasional (MN).
“PRK ini juga melambangkan kekuatan MN kerana ia berlaku dalam tempoh pemerintahan MN,” katanya. – PAHANGMEDIA