Pengerusi Dasar & Pelan Tindakan Wanita Pahang Ybhg Tan Sri Dato' Dri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur ketika melancarkan Anggun Care pada Majlis Pelancaran Anggun Care Talian Aduan Wanita yang berlangsung di Hotel Darul Makmur, Jerantut, hari ini.

ANGGUN CARE SEDIA TALIAN ADUAN KHUSUS UNTUK WANITA PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah

JERANTUT, 22 JUN 2023 : Anggun Care yang dilancarkan oleh Dasar & Pelan Tindakan Wanita Pahang menyediakan talian aduan 24 jam khusus kepada wanita di Pahang.

Pengerusinya, Ybhg Tan Sri Dato’ Dri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur berkata, talian ini diwujudkan dalam usaha memperkasakan golongan wanita melalui pelbagai program sokongan kasih (Anggun Care) yang baru sahaja dilancarkan.

Menurutnya, Anggun Care ini merupakan talian prihatin masyarakat yang boleh diakses oleh orang awam menggunakan dua saluran iaitu talian telefon dan aplikasi Whatsapp di nombor 019-3463008.

“Anggun Care merupakan salah satu program di bawah Dasar & Pelan Tindakan Wanita Pahang yang telah dilancarkan pada tahun lepas dan ianya diuruskan terus oleh Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan.

Pengerusi Dasar & Pelan Tindakan Wanita Pahang Ybhg Tan Sri Dato’ Dri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur

“Dan Anggun Care ini adalah satu model di mana kita menggunakan replika daripada negara luar juga, ianya merupakan talian pertolongan dan bantuan tetapi kita namakan Anggun Care.

“Wanita-wanita di Pahang kalau mereka kegusaran, hendak mendapatkan maklumat, kalau melibatkan kes rumah tangga, hendak tahu tentang hukum syariah, boleh menelefon Anggun Care yang akan beroperasi 24 jam tetapi mereka bukanlah pakar namun mereka akan meminta bantuan daripada agensi-agensi lain untuk menjawab kemusykilan yang diutarakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Anggun Care pada Majlis Pelancaran Anggun Care Talian Aduan Wanita yang berlangsung di Hotel Darul Makmur, Jerantut, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Dasar & Pelan Tindakan Wanita Pahang, YH. Dato’ Sri Maznah Mazlan dan Ketua Kluster Dasar & Pelan Tindakan Wanita Pahang, Profesor Dato’ Sri Zaleha Kamarudin.

Anggun Care berfungsi sebagai ‘single point of contact’ kepada semua penduduk Pahang terutama golongan wanita untuk mengemukakan sebarang aduan merangkumi aspek kaunseling, perlindungan, kebajikan, penderaan, talian kanak-kanak, pembuangan bayi, perkhidmatan kesihatan reproduktif dan masalah sosial.

Anggun Care juga berperanan melindungi hak wanita yang memerlukan sokongan dan nasihat selain menyediakan saluran yang betul untuk mendapatkan bantuan sokongan dan khidmat nasihat terhadap isu dan cabaran yang dihadapi golongan terbabit. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram