Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 22 JUN 2023 : Kerajaan Negeri Pahang sangat membantu dalam memberi ruang dan peluang kepada para kontraktor Melayu untuk melaksanakan projek di negeri ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dalam satu hantaran di media sosial beliau berkata semua ini sudah pasti memberi peluang dan ruang kepada kontraktor terutama dibawah Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pahang.
“Dengan pendapatan yang membanggakan itu maka pelbagai aktiviti pembangunan dan infrastruktur untuk rakyat mampu dilaksanakan Kerajaan Pahang. Antaranya, Rumah Rakyat Pahang (RRP) percuma untuk rakyat yang benar-benar layak (336 buah bagi tahun 2023), Rumah Prima Pahang, Projek Bekalan Air, Projek Jalan Raya, Infrastruktur dan sebagainya.
“Begitu juga ketika Dato’ Sri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Ke-6, banyak projek rakyat telah dilaksanakan di negeri Pahang termasuklah ECRL. Inilah jasa Dato Sri Najib dan Kerajaan Pahang yang harus kita hargai. Sebahagian projek telah diberikan kepada kontraktor Melayu dan jelas Kerajaan Pahang turut berperanan membantu para kontraktor Melayu kita.
“Semua ini saya ingatkan kepada kontraktor Melayu ketika berucap mewakili YAB Menteri Besar Pahang pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Pahang Kali Ke-39 di Cameron Highlands, malam tadi,” katanya.
Beliau turut menyampaikan pesanan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang mahu semua kontraktor bersama-sama dengan Kerajaan Negeri bagi memajukan industri perumahan di Pahang.
“YAB Menteri Besar berharap semua kontraktor Melayu dapat melaksanakan projek yang diberikan dengan berkualiti, sebaik mungkin dan mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Beliau juga berharap PKMM dapat terus berperanan bagi melahirkan lebih ramai kontraktor Melayu yang berkualiti untuk melaksanakan pelbagai projek yang sedang dan akan dilaksanakan di seluruh Pahang,” katanya.
Beliau turut melahirkan harapan supaya semua ahli PKMM perlu bersama mempertahankan Kerajaan Pahang dan memberi kepercayaan serta sokongan kepada Kerajaan Pahang di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar.
“Dengan segala usaha dan kebaikan dilaksanakan Kerajaan Pahang dalam memastikan kontraktor Melayu (PKMM) memperolehi projek dilaksanakan, maka semestinya semua ahli PKMM perlu bersama mempertahankan Kerajaan Pahang yang baik ini.
“PKMM harus memastikan semua ahli dan anggota terus memberi kepercayaan dan sokongan kepada Kerajaan Pahang pimpinan YAB Menteri Besar,” katanya.
Turut hadir, Presiden PKMM, Dato’ Seri Haji Mohamed Fadzill Hassan; Timbalan Presiden PKMM, Dato’ Haji Rusdi Hj Abd Aziz; Yang Dipertua PKMM Pahang, Abdul Gapar Lambak; dan CEO Roadcare (M) Sdn Bhd, Dato’ Imran Wan Omar. -PAHANGMEDIA