Puan Murni Daud, 58, ketika menerima cek sumbangan Kerajaan Pahang daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

BANTUAN KERAJAAN PAHANG KURANGKAN BEBAN

Oleh: Fairus Mohd dan Alia Mokhtar
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 22 JUN 2023 : Kehidupan penuh dugaan dilalui pasangan suami isteri dari Kampung Cherating termasuk memiliki dua anak Orang Kurang Upaya (OKU) terasa sedikit ringan dengan bantuan yang dihulurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang.

Puan Murni Daud, 58, yang menghidap penyakit sendi dan tidak lagi boleh berjalan sejak tiga tahun lalu mengakui keperluan seharian dia dan anak-anak sangat bergantung kepada suaminya, Encik Ramli Mamat, 59.

“Dua anak saya adalah OKU, seorang mengalami masalah pendengaran (pekak dan bisu) manakala seorang lagi berusia 21 tahun tidak mampu bercakap dan kini penglihatannya pula rosak akibat penyakit ‘kaki gajah’ yang dialami sejak dia berusia 12 tahun.

“Suami saya terpaksa berhenti kerja sejak dua tahun lalu untuk uruskan saya dan anak bongsu (sakit kaki gajah). Kehidupan kami yang sukar terasa ringan dengan bantuan dan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap saya dan keluarga.

“Terima kasih Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Pahang di atas sumbangan tunai yang dihulurkan dalam meringankan beban kami terutamanya keperluan kos perubatan,” katanya yang ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Cek Kerajaan Negeri Pahang kepada 37 orang penerima di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Kesemua penerima telah menerima cek sumbangan masing-masing yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Seorang lagi penerima cek sumbangan, Puan Sufaridah Sulong, 31, dari Kampung Kuala Pahang turut berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang yang memberi sumbangan bagi menampung kos rawatan anak sulungnya, Muhammad Khuzairil Adiq Hazriq Mohd Zaidi, 13, yang menghidap sakit jantung.

Puan Sufaridah Sulong

“Terima kasih Menteri Besar dan Kerajaan Pahang bantu saya menampung kos rawatan anak yang mendapat rawatan di HTAA dan juga Institut Jantung Negara (IJN) secara berkala sejak dua tahun lalu.

“Suami Zulkarnain Yusof, 40, tidak bekerja kerana sakit buah pinggang tahap tiga dan juga Gout kronik, jadi bantuan yang diberikan sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga terutamanya dalam berhadapan ujian sakit,” katanya.

Seorang pengidap penyakit saraf tulang belakang, Encik Kamaruzzaman Awang Tehh, 52, berkata bantuan ini dapat membantu mengurangkan perbelanjaan rawatan yang disebabkan oleh penyakit yang dihadapinya sejak lapan tahun yang lalu.

Encik Kamaruzzaman Awang Tehh

“Saya sering berulang alik ke hospital untuk mendapatkan tiga jenis rawatan yang berbeza, tambahan pula sekarang saya tidak bekerja, jadi dengan adanya bantuan ini, dapat membantu meringankan beban saya untuk membayar rawatan perubatan dan menampung kos ubat-ubatan.

“Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Menteri Besar kerana cakna dan prihatin terhadap rakyat yang memerlukan bantuan dan sumbangan ini merupakan salah satu bentuk keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap rakyatnya,” katanya.

Manakala bagi Encik Azuan Zainal Abidin, 40, yang bekerja sebagai mekanik, beliau sangat berterima kasih dan bersyukur di atas sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang.

“Saya merupakan seorang pesakit masalah buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu. Bantuan ini dapat membantu saya menampung kos perjalanan pergi balik untuk mendapatkan rawatan tersebut.

“Syukur Alhamdulillah, terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kerana sedia membantu rakyat yang dalam kesusahan dan sentiasa prihatin terhadap rakyat Pahang,” katanya. –PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram