Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, YB Dato' Mohd Nizar Najib ketika Program Kembara Prihatin di Masjid At-Taqwa melibatkan 46 orang pelajar anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP)

KEMBARA PRIHATIN UMP KEMBALI DEKATI KOMUNITI

Oleh : Fairus Mohd

KUANTAN, 21 JUN 2023 : Program Kembara Prihatin di Masjid At-Taqwa melibatkan 46 orang pelajar anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) kembali membuka tirai beberapa siri Program Kembara Prihatin UMP 21 yang bakal dilaksanakan di beberapa lokasi terpilih.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP, Datin Nur Sharmila Shaheen berkata, selain di Pahang, perancangan kembara termasuk ke negeri Johor, Sabah, Thailand dan Indonesia sebagai platform menimba pengalaman dan menyantuni masyarakat.

“Penglibatan pelajar yang tinggal bersama keluarga angkat sepanjang program kembara ini turut memberi peluang kepada mereka menyantuni komuniti setempat di samping menyalurkan maklumat serta mempromosikan penjenamaan universiti.

“Ia juga selari dengan hasrat dalam mendekatkan universiti kepada komuniti dan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ agar kewujudan UMP dirasai dan manfaat kepakaran dinikmati penduduk setempat,” katanya pada majlis perasmian program oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, YB Dato’ Mohd Nizar Najib.

Turut sama Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar serta Pengerusi Jawatankuasa Masjid At-Taqwa Pekan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Wan Hassan.

Dalam pada itu beliau berkata, program ini turut menyokong usaha UMP yang menjadikan aktiviti kesukarelawanan sebagai agenda penting dalam melahirkan pelajar yang terampil dan warga UMP yang prihatin.

“Dalam program ini pelajar dan komuniti setempat dapat menyertai pelbagai aktiviti bersama-sama antaranya kursus masakan, kursus gubahan, servis menukar minyak hitam dan gunting rambut secara percuma serta pemeriksaan kesihatan.

“Selain itu kita adakan acara sukaneka, mewarna kanak-kanak, rewang memasak bubur daging dan agihan sumbangan Yayasan UMP kepada keluarga yang memerlukan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram