Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Cik Leong Yu Man hadir pada Majlis Penutup Fraser's Hill International Bird Race 2023 di Fraser’s Hill, Raub hari ini.

PAHANG KOMITED PROMOSI ACARA PELANCONGAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

RAUB, 18 JUN 2023 : Kerajaan Negeri Pahang komited dalam mempromosikan acara pelancongan di negeri ini dengan menggunakan pelbagai medium yang ada.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man berkata promosi yang dijalankan ini bertujuan menarik lebih ramai kehadiran pengunjung ke acara pelancongan yang dijalankan.

“Kerajaan Negeri sangat komited untuk mempromosikan acara-acara seperti ini (Fraser’s Hill International Bird Race 2023).

“Jadi sebelum event ini dijalankan kita telah mengadakan promosi di Bernama TV, RTM, dan juga melalui pelbagai rakan media yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan acara Fraser’s Hill International Bird Race 2023 di Bukit Fraser hari ini yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim.

Beliau berkata hubungan baik yang terjalin diantara Kerajaan Negeri, media, badan-badan bukan Kerajaan (NGO), agensi swasta dan pemain industri perlu diteruskan bagi memastikan sektor pelancongan di negeri ini terus berkembang maju.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri Pahang juga sangat komited dalam meningkatkan pembangunan Bukit Fraser tanpa merosakkan alam semulajadi.

“Kita juga sangat komited dengan bantuan Kerajaan Negeri Pahang untuk meningkatkan pembangunan Bukit Fraser atau lebih dikenali sebagai Little England tanpa merosakkan atau memusnahkan alam semulajadi.

“Perancangan yang rapi untuk pembangunan Bukit Fraser akan memberi faedah dan kebaikan kepada semua pihak lebih-lebih lagi kepada masyarakat setempat Bukit Fraser itu sendiri.

“Birding Tourism merupakan salah satu segmen pasaran pelancongan yang berkembang begitu pesar. Ianya menyumbang kepada 10 peratus hingga 30 peratus daripada keseluruhan industri dunia, malah Malaysia sendiri menduduki tangga keempat di Asia sebagai sebuah destinasi birding yang terkenal…,” katanya.

Seramai 264 peserta meliputi pasukan dalam negara dan luar negara serta fotografi menyertai pertandingan yang diperkenalkan sejak 1988 bagi mempromosi kawasan ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

This will close in 0 seconds