Oleh : Ain Nadhirah Basha
RAUB, 17 JUN 2023 : Fraser’s Hill International Bird Race 2023 merekodkan peningkatan penyertaan sebanyak 125 peratus berbanding tahun lepas
Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim berkata peningkatan ini disebabkan oleh pasca COVID-19 di mana ramai peserta telah menunggu lama untuk menyertai pertandingan ini.
“Pada tahun ini penyertaan daripada luar negara melebihi penyertaan daripada dalam negara. Kita ada lebih daripada 30 pasukan daripada luar negara yang melibatkan 10 buah negara.
“Dan penyertaan bagi fotografi juga ramai pada tahun ini dengan 90 orang peserta bagi pertandingan fotografi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Fraser’s Hill International Bird Race 2023 di Fraser’s Hill yang berlangsung selama 24 jam bermula 12 tengah hari, hari ini dan berakhir esok.
Menurut beliau, peserta yang menyertai pertandingan ini merupakan peminat burung yang menjadikan acara ini sebagai medan untuk mereka melihat spesis burung yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
“Hadiah bukan menjadi satu tarikan utama kepada mereka (peserta pertandingan) kerana bagi peminat burung, apabila mereka dapat melihat burung terutamanya bagi burung-burung yang mereka belum pernah lihat sebelum ini.
“Ada peserta dari luar negara, bila mereka tahu ada spesis burung tertentu di sini, mereka sanggup berbelanja besar untuk datang ke sini untuk melihat sendiri,” katanya.
Seramai 264 peserta meliputi pasukan dalam negara dan luar negara serta fotografi menyertai pertandingan yang diperkenalkan sejak 1988 bagi mempromosi kawasan yang dikenali sebagai Little England ini. -PAHANGMEDIA