Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali
PEKAN, 25 JUN 2020: Keperluan infrastruktur dan sumber ekonomi menjadi antara tumpuan yang diberikan oleh calon BN, Mohd Sharim Md Zain pada ziarah kempen yang diadakan.
Menurutnya, penerimaan baik masyarakat Orang Asli di bawah Dewan Negeri (DN) Chini terhadap dirinya memberi semangat untuk terus memperjuangkan nasib mereka.

“Saya sedar masih ada beberapa perkara (keperluan asas) masih ketinggalan yang perlu diberi perhatian oleh BN.
“Ada juga projek yang sedang dilaksana tetapi tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kalau BN kembali menerima mandat, banyak lagi projek dapat dilaksanakan,” katanya pada Program Ramah Mesra dan Ziarah Kasih Orang Asli di Kampung Bendaling, di sini hari ini.

Sementara itu, Batin Kampung Bendaling, Manda Mat, 62, mengakui di pihaknya memerlukan beberapa pembangunan seperti rumah PPRT, bekalan elektrik dan sumber ekonomi melalui Tanaman Semula Kelompok (TSK).
Katanya, seramai 215 orang penduduk suku Jakun terdiri daripada 57 keluarga menyara hidup dengan bekerja di ladang getah serta memungut hasil hutan.

“Setakat ini kami gembira dan bersyukur berada dijaga oleh wakil rakyat Barisan Nasional. Jadi kita harap calon yang baru jika dipilih akan ambil kisah atau tindakan segera bagi memenuhi keperluan di kampung ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Selong Tong, 70, percaya bahawa BN akan membawa lebih banyak Kemajuan di kampungnya.
“Kita akan terus menyokong BN dan berharap wakil rakyat di kawasan ini selalu me jenguk keadaan kami di sini,” katanya. – PAHANGMEDIA