Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Najmuddin Zahid
KUANTAN, 04 JUN 2023 : Fokus terhadap pelajaran yang diambil merupakan resipi kejayaan Tengku Mohd Hanif Tengku Chik iaitu penerima Anugerah Pengarah pada Majlis Konvokesyen Ke-7 Politeknik Metro Kuantan.
Menurut Tengku Mohd Hanif, 25, yang mengambil kos Perkhidmatan Makanan Amalan Halal berkata selain itu komited dalam kerja yang dilaksanakan juga penting bagi menggapai kejayaan.
“Alhamdulillah untuk anugerah pada hari ini. Ia membakar semangat saya kerana ia merupakan satu pencapaian baharu yang saya impikan sejak beberapa tahun lepas lagi.
“Tiada rahsia cuma kita perlu fokus dan jalankan tugasan yang diberikan, selain itu kita perlu komited dengan kerja yang dijalankan,” kata anak bongsu daripada tiga beradik kelahiran Pekan ini.

Beliau menerima anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Pengarah Politeknik Metro Kuantan, En Rosli Zainuddin pada Majlis Konvokesyen Ke-7 Politeknik Metro Kuantan di Hotel Swiss-bel di sini.
Turut hadir, Pengarah Kanan (Akademik) Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, YBrs. Encik Mohd Noor Shahudin.
Beliau yang turut mendapat dekan setiap semester juga berkata pemilihan untuk belajar di politeknik metro ini juga berdasarkan beberapa faktor antaranya jarak yang dekat dengan rumah serta kos pembelajaran yang rendah.
“Dekat dengan rumah adalah salah satu faktor, dan dari segi yuran dan perbelanjaan lebih murah dengan tempat lain.
“Saya juga berminat dengan bidang makanan, jadi bagi kos yang diambil ini dia balance dengan sains dan juga practically dan fizikal training. Jadi balance untuk keperluan industri,” katanya.
Sementara itu, menurut Puan Mariati Awang, 52, ibu kepada Tengku Mohd Hanif, tekun dan menepati masa antara faktor kecemerlangan yang dicapai anaknya.
“Rasa bangga sebagai ibu, dan dia (Hanif) srjak dah pandai berdikari, dia tsk susah bangun pagi, dia akan bangun sendiri tak payah dikejut. Itu style dia sampai sekarang.
“Dia juga seorang yang tekun dan seorang yang menepati masa. Contoh masa dia sekolah, kita tak perlu kejut dia pun, dia akan bagun sendiri dan ada masa dia bangun lagi awal dari kita,” kongsi surirumah dari Kampung Nyior Manis ini.
Pada Majlis Konvokesyen ini seramai 161 graduan yang terdiri daripada graduan Diploma Perkhidmatan Makanan Amalan Halal dan graduan Diploma Pengurusan Pelancongan bagi sesi I dan sesi II : 2021/2022 telah diraikan.
Sejak penubuhan Politeknik Metro Kuantan pada tahun 2011, institusi ini telah berjaya melahirkan seramai 1,057 orang graduan, terdiri daripada 717 pemegang Diploma Perkhidmatan Makanan Amalan Halal dan 340 pemegang Diploma Pengurusan Pelancongan. -PAHANGMEDIA