YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan delegasi Kerajaan Negeri Pahang telah mengadakan pertemuan dengan Mufti Agung Republik Arab Mesir, Shawki Allam di Dar Iftar Al Masriyah, Kaherah.

KERAJAAN PAHANG JADI RAKAN STRATEGIK DENGAN JABATAN MUFTI MESIR

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 30 MEI 2023 : Kerajaan Pahang bersedia menjadi rakan strategik kepada Jabatan Mufti Negara Mesir bagi mencipta perhubungan secara dalam talian atau apa-apa cara untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan dengan bidang kefatwaan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menerusi perhubungan ini juga membolehkan segala fatwa yang dikeluarkan atau diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negara Mesir boleh dikongsikan dengan Jabatan Mufti Negeri Pahang khususnya dan juga Jabatan-Jabatan Mufti di Malaysia.

“Jabatan Mufti Negeri Pahang boleh mengadakan lawatan kerja singkat bersama dengan pegawai dari agensi agama lain bagi pertukaran maklumat-maklumat berkaitan di Jabatan Mufti Mesir.

“Jabatan Mufti Negeri Pahang juga telah mendapat keizinan dan perkenan KDYMM Tuanku berhubung dengan pelantikan seorang pakar rujuk daripada Mesir,” katanya pada sesi Kunjung Hormat YAB Menteri Besar Pahang kepada Sahibus Samahah Mufti Agong Republik Arab Mesir, Shawki Allam semalam.

Pada kunjungan itu, delegasi dari Negeri Pahang berkesempatan bertukar pandangan dalam bidang pendidikan, penyelidikan, kepakaran dan lain-lain yang boleh memberikan manfaat kepada perkembangan pendidikan Islam di negeri itu selain mengadakan pertemuan dengan para pelajar Pahang dan menyampaikan bantuan kewangan kepada mereka.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi kesungguhan pembangunan pendidikan agama Islam di Pahang dari peringkat pendidikan awal kanak-kanak (tadika) sehinggalah ke peringkat universiti.

Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM148.23 juta setahun bagi pengurusan Agama Islam termasuk pendidikan iaitu iaitu hampir 15 peratus daripada keseluruhan belanjawan tahunan Kerajaan Negeri Pahang.

Pahang juga menyediakan 18 Sekolah Menengah Agama (SMA) yang menggunakan 100 peratus silibus Thanawi Bu`uth Al-Azhar (pengajian menengah Al-Azhar), empat Sekolah Agama Rakyat (SAR) MUIP dan sebuah Universiti Islam iaitu UnIPSAS.

Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada pengajian tahfiz Al-Quran menerusi Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di mana terdapat 10 pelajar MTNP berjaya menyambung pengajian di Maahad Qiraat Al-Azhar di Shubra dan berharap dapat menyambung pengajian diperingkat Ijazah Sarjana Muda di Kuliah Al-Quran di Universiti Al-Azhar, Tanta kelak.

Terbaru, Kerajaan Pahang turut melaksanakan pendidikan tahfiz diperingkat pendidikan awal kanak-kanak dengan mewujudkan 21 Tadika Tahfiz Negeri Pahang yang terdiri daripada kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram