Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 30 MEI 2023 : Kerajaan Pahang menyalurkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada adik Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan yang menghidap penyakit jarang jumpa iaitu Spinal Muscular Atrhopy (SMA) Type 1.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan yang disalurkan ini bagi menambah dana yang diperlukan Athif bagi membeli ubat genetik.
“Kerajaan Negeri Pahang simpati dengan nasib yang menimpa seorang kanak-kanak dari Permatang Badak, Kuantan, Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan atau Athif yang menghidap penyakit jarang jumpa iaitu Spinal Muscular Atrhopy (SMA) Type 1.
“Saya difahamkan Athif yang kini berusia 15 bulan memerlukan dana bagi membeli ubat Genetik Zolgensma yang berharga AS$2.1 juta (RM9.42 juta) yang dipercayai mampu menyembuhkan penyakit terbabit.
“Untuk itu, Kerajaan Negeri Pahang telah bersetuju untuk memberi sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Athif bagi menambah dana yang diperlukannya,” katanya.
Beliau juga turut melahirkan harapan supaya lebih banyak pihak seperti syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO), dan orang perseorangan tampil bagi membantu Athif untuk mendapatkan ubat tersebut.
“Saya berdoa semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada Athif serta mempermudahkan segala urusan keluarganya atas dugaan yang dihadapi oleh mereka ketika ini,” katanya. -PAHANGMEDIA