Oleh : Fansurina Abdullah
BENTONG, 25 MEI 2023 : Pembangunan Genting Xintiandi di Genting Highlands dapat menyumbang kepada pelaburan di Pahang apabila mampu menarik pelabur asing dari luar dengan menawarkan keunikan bandar metropolis dengan dikelilingi pelbagai tarikan di tanah tinggi itu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga kini Pahang berjaya menarik ramai pelabur luar apabila dapat meningkatkan jumlah pelaburan kepada RM20.56 bilion pada tahun 2022 berbanding RM12.69 bilion pada 2021.
“Jadi ini jelas menunjukkan bahawa negeri kita diminati oleh ramai orang, sebab itulah negeri kita ini didatangi oleh ramai pelancong.
“Kita hendak jadikan Genting Highlands ini daya tarikan yang jika orang datang ke Malaysia pasti akan berkunjung ke Genting Highlands.
“Selain itu, kita juga mempunyai perancangan tertentu di bawah Pelan Pembangunan Gebeng yang akan menyaksikan Daerah Kecil Gebeng dikelaskan sebagai hab transit pantai timur, yang merangkumkan keperluan logistik udara, darat dan laut,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika hadir merasmikan Galeri Jualan Genting Xintiandi di Genting Highlands, hari ini.
Hadir sama ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Zulkifli Yaacob, YB Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin, Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin, barisan Exco Kerajaan Pahang, Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif Genting Malaysia Berhad (GENM), Tan Sri Lim Kok Thay dan Pengerusi Aset Kayamas, Tan Sri Chai Kin Kong.
Pembangunan Genting Xintiandi adalah projek usaha sama antara Aset Kayamas dan Genting Malaysia bertujuan mewujudkan bandar berbeza dan menarik dari segi kualiti visual di kawasan Genting Permai.
Projek ini melibatkan pembangunan berketinggian 37 hingga 60 tingkat dengan lapan fasa melibatkan pangsapuri perkhidmatan, ruang perniagaan, hab komersial terdiri daripada pembangunan terminal bas dan hotel.
Lokasi pembangunan Genting Xintiandi yang strategik diyakini mampu memacu pertumbuhan ekonomi di samping memanfaatkan penduduk sekeliling termasuklah membuka banyak peluang pekerjaan. – PAHANGMEDIA