Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal ketika menyaksikan Mailis Penyerahan Menara Komunikasi JENDELA di KOA Kuala Boh, hari ini.

PEMBINAAN MENARA TELEKOMUNIKASI KAMPUNG ORANG ASLI KUALA BOH PERLU DIJADIKAN CONTOH

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

CAMERON HIGHLANDS, 24 MEI 2023 : Projek pembinaan menara telekomunikasi baharu di Kampung Orang Asli (KOA) Kuala Boh yang selesai sepenuhnya dalam tempoh kira-kira enam bulan perlu dijadikan contoh bagi pembinaan projek sama selepas ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata tempoh berkenaan melibatkan pembinaan infrastruktur serta pengoperasian oleh syarikat telekomunikasi.

“Pihak Celcom-Digi telah memberi komitmen ia akan siap pada Julai atau selewat-lewatnya minggu pertama Ogos tahun ini. Ini bermakna kita mampu siapkan menara ini dengan operasi sepenuhnya lebih kurang enam bulan.

“Ia satu tempoh masa yang singkat dan saya harap model atau contoh gerak kerja membina menara ini dapat dicontohi oleh pihak lain dalam pembinaan menara telekomunikasi di seluruh Pahang ini,” katanya.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal ketika menyaksikan Majlis Penyerahan Menara Komunikasi JENDELA di KOA Kuala Boh, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan menyaksikan Mailis Penyerahan Menara Komunikasi JENDELA di KOA Kuala Boh, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pahang, Encik Mohd Faisal Md Nor; dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Syed Ahmad Khairulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata pihaknya juga telah meminta pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Pahang Corporation untuk memendekkan tempoh pengeluaran permit penggunaan.

“Saya telah berhubung dengan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Dato’ Dr. Hizamri dan CEO Pahang Corporation, Dato’ Husaini, saya minta Jabatan Perhutanan dapat bantu kita untuk keluarkan permit penggunaan dalam tempoh sebulan.

“Kalaulah kita dapat selesaikan permit penggunaan dalam tempoh sebulan, kerja akan jadi lebih laju dan saya tengok tak ada masalah sebab sebelum ini mungkin ambil masa lebih sebulan setengah, dua bulan. Jadi kita tengok contoh di Kuala Boh ini, kita mampu percepatkan prosesnya,” katanya.

Menurut beliau lagi, sebanyak 53 menara telekomunikasi telah siap dibina dan beroperasi sepenuhnya di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) daripada 270 yang dirancang secara keseluruhan di negeri ini.

“217 lagi masih dalam pelbagai peringkat pembinaan. Dan saya tegas menyatakan bahawa saya nak projek-projek ini, 270 menara ini disiapkan pada tahun ini juga menjelang penghujung tahun.

“Itulah komitmen yang telah saya nyatakan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkenaan pembinaan menara ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram