Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika menyampaikan sumbangan Kerajaan Pahang kepada jemaah-jemaah haji pada Majlis Penyampaian Bantuan Haji Negeri Pahang Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1444 Hijrah / 2023 Masihi di Masjid Omar Abdul Aziz, Kerdau di Temerloh.

JEMAAH HAJI PAHANG SYUKUR TERIMA BANTUAN KERAJAAN NEGERI

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Najmuddin Zahid

TEMERLOH, 20 MEI 2023 : Bakal jemaah haji dari Pahang gembira dan bersyukur apabila masing-masing menerima sumbangan wang tunai RM500 dan pek makanan Juadah Makmur Jemaah Haji yang disampaikan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad di Masjid Omar Abdul Aziz, Kerdau di Temerloh, pagi tadi.

Bantuan seumpama ini bukan sahaja mempermudahkan urusan para jemaah tetapi turut memberikan kelegaan kepada mereka sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Bagi seorang jemaah wanita, Puan Rahayar Md Taib, 59, beliau yang datang dari Chenor telah 15 tahun menunggu panggilan haji yang memberikan keterujaan kepadanya untuk menyempurnakan Rukun Islam Kelima itu.

Puan Rahayar Md Taib

Justeru katanya, sumbangan daripada Kerajaan Negeri seumpama ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dan beliau begitu gembira serta berterima kasih.

“Makcik pun cadang persediaan nak beli juga lah macam pek makanan segera ini, jadi dah dapat ni rasanya KIV lah, tak perlu beli lagilah sebab dah mencukupi rasanya, terima kasihlah atas kurniaan rezeki dan berharap Kerajaan Negeri kita ini aman makmur dengan limpahan rezeki supaya dapat dikongsi bersama rakyat,” katanya.

Sementara itu, seorang jemaah lelaki dari Karak, Tuan Haji Azaddin Abdul Malik, 56, beliau bersama isterinya merasakan sumbangan yang diberikan Kerajaan Negeri dapat dimanfaatkan semasa di Tanah Suci.

Tuan Haji Azaddin Abdul Malik

“Alhamdulillah syukur kepada Allah dapat bantuan daripada Kerajaan Negeri, terima kasih YAB Menteri Besar, syukur kerana dapat bantuan untuk saya berbelanja sikit di Mekah nanti,” katanya.

Manakala bagi seorang jemaah dari Bera, Puan Meriah Hamzah, 84, penantiannya selama 15 tahun amat bermakna apabila warga emas kini dibenarkan untuk menunaikan ibadah haji selepas dunia dilanda pandemik COVID19.

Beliau bersama dua lagi anak dan menantunya turut menerima sumbangan Kerajaan Pahang dan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih.

Puan Meriah Hamzah

“Saya bersyukurlah, terima kasih banyak-banyak kerana dapat bantuan Kerajaan Negeri Pahang bagi,” katanya.

Kesemua 362 jemaah haji telah menerima sumbangan Fasa Kedua berupa wang tunai RM500 dan tiga pek makanan setiap seorang berupa ayam masak merah, kari ayam dan kurma ayam yang dapat disediakan dengan cepat serta mudah.

Kerajaan Pahang telah memperuntukan sumbangan berjumlah RM1 juta dan pemberian pek makanan Juadah Makmur Jemaah Haji berjumlah RM84,000 kepada semua 1,800 bakal jemaah haji Pahang yang telah diagihkan melalui dua fasa iaitu Fasa Pertama pada 7 Mei lalu dan Fasa Kedua pada hari ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram