Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Najmuddin Zahid
TEMERLOH, 20 MEI 2023 : Jemaah haji yang bakal menunaikan Rukun Islam kelima diingatkan agar dapat memberi tumpuan menunaikan ibadah haji selain memahami budaya pelbagai bangsa ketika berada di tanah suci.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ini kerana jemaah haji akan berhadapan dengan pelbagai bangsa dan budaya sepanjang berada di Mekah dan Madinah.
“Maklumlah sebagaimana yang saya sebut tadi mereka pergi ke Mekah ini pergi ke negara bukan negara dia, culture (budaya) bukan culture dia, mungkin ada rasa rindu, rasa susah dan payah jadi hendak menenangkan jiwa dan melegakan perasaan dia jadi YAB Menteri Besar berikan sedikit sumbangan kewangan dan Juadah Makmur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Kerajaan Pahang kepada jemaah-jemaah haji pada Majlis Penyampaian Bantuan Haji Negeri Pahang Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1444 Hijrah / 2023 Masihi di Masjid Omar Abdul Aziz, Kerdau di Temerloh.
Hadir sama ialah Pegawai Agama Islam Daerah Temerloh, Al-Fadil Ustaz Abdul Aziz Abdul Karim dan Pegawai Agama Islam Daerah Bentong, Al-Fadil Ustaz Haji Ahmad Zahiruddin Alias dan barisan pemimpin setempat.
Pada majlis itu seramai 362 daripada 1,800 jemaah haji Pahang telah menerima sumbangan Fasa Kedua berjumlah RM500 dan tiga pek makanan Juadah Makmur Jemaah Haji bagi setiap seorang.
Manakala baki jemaah tersebut telah menerima sumbangan masing-masing pada Fasa Pertama yang telah disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Masjid Sultan Ahmad 1, Kuantan pada 7 Mei lalu.
Esok merupakan penerbangan pertama bagi jemaah haji Malaysia yang akan mula berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan Rukun Islam kelima. – PAHANGMEDIA