Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 14 MEI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli ke Majlis Malaysian Polycc International Orientering Championship 2023 (MPIOC 2023) yang berlangsung di Padang Hoki Majlis Bandaraya Kuantan di SUKPA di Kuantan.
Turut mengiringi baginda ialah YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Zulkifli Yaacob, Pengurus Besar Tourism Pahang, YBrs Encik Kamaruddin Ibrahim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail.
MPIOC 2023 yang dianjurkan buat kali ketiga ini telah disertai 226 peserta dari Malaysia dan negara-negara antarabangsa iaitu Indonesia, Jepun, Switzerland, Chinese Taipei dan SAR Hongkong.
Kejohanan ini merupakan anjuran bersama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Tourism Pahang dengan kerjasama pelbagai pihak yang bergabung untuk menjayakan kejohanan ini iaitu Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Majlis Sukan Pahang, Tourism Malaysia, Majlis Bandaraya Kuantan, Sri Manja Boutique Hotel, The BCIC Lodge dan Restoran Feed Zone ABC.
Penganjuran kejohanan ini adalah untuk memupuk minat dan melahirkan para pensyarah dan pelajar yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam sukan berkenaan sehingga mampu bersaing di kejohanan-kejohanan orienteering peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa sekaligus dapat mempromosikan dan mengangkat nama Politeknik dan Kolej Komuniti dalam bidang sukan orienteering.
Terdapat dua kategori utama yang dipertandingkan iaitu kategori terbuka untuk World Ranking Event (WRE) yang telah berlangsung semalam dan National Ranking Event (NRE).
Kejohanan yang diiktiraf oleh International Orienteering Federation (IOF), Persatuan Sukan Orienteering Malaysia (PESOM) dan Akademi Orienteering Malaysia (AKOM) telah bermula Jumaat dan berakhir hari ini. – PAHANGMEDIA