Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Johari Harun pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Pelangai 2023M/1444H di Dewan FELDA Kemasul di Bentong

KERAJAAN RANCANG LAKSANA RKK DI DUN PELANGAI

Oleh : Fansurina Abdullah

BENTONG, 13 MEI 2023 : Kerajaan Pahang bercadang melaksanakan Rancangan Kawasan Khas (RKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bagi membolehkan kerj-kerja pembangunan kawasan dijalankan dengan lebih tersusun.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun berkata, kerajaan akan mengadakan perbincangan bersama dengan Majlis Perbandaran Bentong (MPB) supaya RKK ini dapat dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Saya dalam perancangan untuk memasukkan (tahun depan) insyaAllah, saya akan berbincang dengan Majlis Perbandaran Bentong (MPB) untuk kita adakan satu Rancangan Kawasan Khas (RKK) untuk DUN Pelangai keseluruhan dan Simpang Pelangai itu sendiri.

“Jadi bila dengan adanya RKK ini kita dapat bangunkan DUN Pelangai ini secara berperingkat, jadi kita hendak nampak Simpang Pelangai itu sendiri supaya nampaklah macam bandar sikit, itu lah matlamat kita, jadi dengan adanya menda ini, majlis perbandaran akan bantu, kita akan cuba cari dana atau pun bajet daripada kementerian, KPKT dan sebagainya untuk kita buatlah landskap dia, dewan yang baru, macam-macam lagi lah kita kena buat, mungkin rumah kedai yang baru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Pelangai 2023M/1444H di Dewan FELDA Kemasul di Bentong, yang dihadiri hampir 2,000 penduduk sekitar.

Rancangan Kawasan Khas (RKK) merupakan satu rancangan tindakan khusus untuk satu-satu kawasan yang telah dikenalpasti oleh Pihak Berkuasa Negeri / Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan bertujuan memajukan segera, memajukan semula, memperelokkan lagi, untuk memulihara atau juga untuk tujuan pengurusan sesebuah kawasan.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Sri Johari berkata, beliau juga sedang menggerakkan usaha bagi memastikan pembinaan Jalan Karak-Pelangai dapat dimasukkan ke dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim pada Oktober depan.

“Jalan daripada Karak ke Pelangai ini mudah-mudahan akan dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang mana insyaAllah Perdana Menteri atau Menteri Kewangan akan bentang pada bulan 10 nanti, ini bukan cerita politik semata-mata tetapi untuk kemudahan rakyat dan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, Jalan Karak-Pelangai bukan sahaja dapat digunakan oleh penduduk setempat tetapi juga pengguna daripada Kelantan dan Terengganu dapat melalui jalan tersebut untuk ke Negeri Sembilan, Kajang dan negeri-negeri di Selatan melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Bandar Simpang Pelangai bakal dilengkapi dengan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) Agrobank bagi memberikan kemudahan kepada penduduk DUN Pelangai dan kawasan sekitar. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram